SAUDARA PENGARANG,
MASALAH pengangguran dalam kalangan graduan sering dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk pemilihan kerja dan sikap, kemelesetan ekonomi serta kesan daripada pandemik Covid-19.
Lantaran itu, graduan seharusnya peka terhadap realiti dan kekangan yang ada dengan siap siaga melengkapkan diri bagi mendepani cabaran pekerjaan pada masa hadapan. Berdasarkan kajian, graduan universiti harus melengkapkan diri dengan keperluan-keperluan penting berikut:
Kemahiran teknologi seiring era Revolusi Industri (IR) 4.0
Industri yang masih menawarkan peluang pekerjaan sewaktu penularan wabak Covid-19 adalah industri berkaitan teknologi maklumat (IT), perkilangan, perbankan, perniagaan runcit dan penjagaan kesihatan. Kebanyakan syarikat mula memberi tumpuan kepada kaedah teknologi dan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan. Pengetahuan dan penguasaan dalam kemahiran ini sangat relevan dalam membantu graduan mendepani cabaran pekerjaan yang kompetitif. Graduan perlu cakna perkembangan kecerdasan buatan (AI) selain melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi dalam talian dan segalanya internet (IoT).
Kemahiran Insaniah (KI) mencukupi
KI sering dikaitkan dengan trait personaliti individu, berfikiran kritis, bijak berkomunikasi, pandai mendapatkan kenalan, berdaya tahan dan berinovatif. Kajian merekodkan terdapat ramai lepasan pengajian tinggi tidak mempunyai set KI mencukupi mengakibatkan mereka gagal memasuki sektor tenaga kerja seterusnya menyumbang sebagai pekerja aktif dan cekap.
Kemahiran Keusahawanan
Keusahawanan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara kerana mampu merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Keusahawanan juga memupuk sikap inovatif serta berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan kurang bernasib baik dalam pasaran buruh.
Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (PTK IPT) 2021– 2025 bagi membudayakan lebih ramai institusi keusahawanan dalam kalangan pelajar dan lepasan pengajian tinggi. Dasar Keusahawanan Nasional 2030 juga diperkenalkan bagi tujuan memperkukuh dan meningkatkan inisiatif dan program sedia ada untuk melonjakkan aktiviti keusahawanan.
Kesimpulannya, selain penguasaan aspek teori dalam bidang pengajian di peringkat universiti, ketiga-tiga kemahiran tersebut dilihat sebagai persediaan sangat penting bagi graduan untuk kekal relevan dalam mendepani cabaran pekerjaan pada masa kini dengan mengambil kira faktor ekonomi dan kesihatan yang melanda negara.-UTUSAN
DR. HANIRA HANAFI
Universiti Malaya