Suburkan Ta’aruf, Tafahum & Tasamuh dalam masyarakat

Suburkan Ta’aruf, Tafahum & Tasamuh dalam masyarakat

SEMUA pihak perlu memainkan peranan dalam membentuk budaya toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASYARAKAT majmuk yang terbentuk di Malaysia melalui sejarah yang panjang. Ia merupakan ciri keunikan tempatan kerana kejayaan menghasilkan miniatur Asia yang mempunyai komposisi pelbagai bangsa utama Asia seperti Melayu, Cina dan India.

Takdir sejarah ini perlu diterima dan diperkasakan dari semasa ke semasa. Ini disebabkan unsur agama dan kaum menjadi pemicu utama konflik dalaman sesebuah negara. Perpaduan yang dipupuk selama ini akan menjadi abu berterbangan jika api keagamaan dan perkauman terus ditiup sepanjang masa. Pihak yang menjadi provokator perlu dibasmi dari masyarakat kerana ia menjadi agen perpecahan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Hikmah di sebalik kepelbagaian ini adalah supaya saling kenal mengenali di antara satu sama lain (ta’aruf). Ini disebabkan asas hubungan manusia adalah perdamaian, bukan konflik kerana mereka makhluk sosial yang madani. Ia bermakna tiada seorang pun manusia yang mampu hidup sendiri.

Dalam meraikan sambutan perayaan dalam masyarakat majmuk, kita dapat melihat keraian yang penuh warna warni. Ia melibatkan sambutan yang berbentuk keagamaan dan tradisi budaya.

Tindakan pembakaran mercun dan perarakan keagamaan ini boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama sekiranya tidak ada tolak ansur antara tiap penganut agama. Di sinilah pentingnya pendekatan tasamuh, iaitu saling bertoleransi dalam kehidupan umat beragama.

Setiap pihak perlu memainkan peranan dalam membentuk budaya toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Selaras dengan itu, semua pihak tidak boleh melampaui batasan dan undang-undang negara. Sikap ekstrem boleh menjejaskan keharmonian bersama.

Sebagai bangsa beragama, setiap pihak tidak tidak boleh memaki dan menghina sembahan serta perayaan pihak yang lain. Ini disebabkan tindakan ini boleh mengundang ketegangan sosial, mencetuskan konflik dan menambah jurang perpecahan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, proses membina bangsa Malaysia yang madani atau beradab merupakan usaha kolektif setiap pihak dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Pendekatan Ta’aruf, Tafahum dan Tasamuh merupakan komponen penting yang perlu disuburkan dalam interaksi makhluk sosial bagi mewujudkan kelestarian dan keharmonian bersama untuk membentuk bangsa Malaysia madani yang bersatu padu.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN