Peminat harap Liga Malaysia 2023 tidak banyak lakonan di padang - Utusan Malaysia

Peminat harap Liga Malaysia 2023 tidak banyak lakonan di padang

PERLAWANAN antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada 24 Februari lalu mendapat pujian peminat sukan nombor satu negara itu. – FB JOHOR SOUTHERN TIGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PIALA Sultan Haji Ahmad Shah atau dikenali sebagai Sumbangsih membuka tirai saingan Liga Malaysia 2023 pada 24 Februari lalu dengan perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) lawan Terengganu FC.

Tahniah kepada JDT yang menang 2-0 pada malam perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru. Pujian harus diberi kepada kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan satu perlawanan yang menghiburkan dan rancak.

Pada perlawanan malam itu, tiada pemain yang berlakon atau berpura-pura cedera yang boleh menyebabkan perlawanan yang rancak terpaksa dihentikan hanya semata-mata hendak melayan kerenah pemain.

Acap kali kita melihat pegawai perubatan meluru masuk ke padang untuk memberi rawatan kepada pemain yang sebenarnya berpura-pura sakit semata-mata hendak melengahkan masa apabila pihak lawan sudah mendahului permainan.

Apa pun alasan mereka, pemain perlu ingat bahawa penonton yang datang ke stadium perlu membayar tiket dan kos perjalanan. Mungkin ada yang berhutang duit dengan ibu bapa dan rakan.

Ada juga yang mungkin terpaksa memecahkan tabung kerana bersemangat mahu menyokong pasukan pilihan tetapi sekiranya dihidangkan dengan perlawanan membosankan apabila pengadil kerap memberhentikan perlawanan, itu amat merugikan peminat sukan tanah air.

Harapan saya musim Liga Malaysia 2023 ini kita tidak lagi mahu melihat kerenah pemain sebegitu. Pengadil perlu memberi amaran kepada mana-mana pemain yang sering buat onar dan jika berulang, jangan teragak-agak layangkan sahaja kad merah. Jika pemain asyik ‘cedera’ sahaja sepanjang perlawanan, lebih baik duduk di tepi padang. – UTUSAN

CIKGU JAMAL, Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya