Pembinaan lebuh raya dari Broga ke Simpang Pelangai elak sesak - Utusan Malaysia

Pembinaan lebuh raya dari Broga ke Simpang Pelangai elak sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan untuk membina jalan raya baharu dari Broga, Semenyih, Selangor ke Simpang Pelangai dalam daerah Bentong, Pahang.

Selaku anak Pahang, saya sangat menyokong cadangan pembinaan jalan raya itu. Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 ini.

Antara faedah pembinaan jalan raya ini ialah dapat mengurangkan kesesakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada waktu puncak kerana penduduk yang tinggal di Kajang, Semenyih, Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, Seremban, Nilai dan kawasan berdekatan yang menuju ke Pantai Timur boleh menggunakan jalan raya ini sebagai alternatif tanpa melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Kerajaan membuat keputusan yang tepat dan telah menimbangkan pandangan seperti diterbitkan dalam ruangan ini pada 17 Mei 2021 bertajuk Bina lebuh raya alternatif elak sesak.

Walaupun dalam cadangan tersebut menyatakan pembinaan lebuh raya bermula dari Kajang namun kerajaan mungkin lebih arif dan mempunyai alasan tersendiri memilih Broga sebagai titik mula jalan raya berkenaan.

Pun begitu, diharap jalan raya baharu yang bakal dibina ini sebaik-baiknya mempunyai reka bentuk empat lorong sepertimana laluan Central Spine Road (CSR) yang sekarang dikenali sebagai Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Di samping itu, adalah amat baik jika pembinaan dilakukan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memandangkan sambungan LTU dari Bentong ke Simpang Pelangai sedang bermula dan dijangka siap pada 2026.

Jika dapat disiapkan serentak maka sudah pasti bermula pada 2027 kesesakan Lebuhraya KLK mungkin dapat dikurangkan. – UTUSAN

TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya