Kenapa anggap AUKU macam jelmaan hantu? - Utusan Malaysia

Kenapa anggap AUKU macam jelmaan hantu?

Kerajaan diharap dapat menyegerakan bantuan RM200 e-dompet kepada golongan mahasiswa di negara ini. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

POLEMIK Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) muncul kembali untuk menguji kerajaan perpaduan walaupun ia pernah dipinda banyak kali di Parlimen pada 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan terakhir 2019.

Hampir semua desakan dan rayuan terhadap AUKU telah dipenuhi melalui pindaan berkenaan termasuk pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dengan membenarkan pelajar universiti awam melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, waima bertanding dalam pilihan raya.

Oleh itu, semua mahasiswa tidak perlu lagi berasa takut untuk menyuarakan sesuatu selagi tidak bercanggah dengan rasional dan undang-undang negara.

Dalam pada itu, antara polemik terbabit adalah perlukah AUKU dimansuhkan terus atau hanya dibuat pindaan lagi terhadap saki-baki peruntukan yang menyekat kebebasan warga universiti?

Sekali pandang memang nampak menarik cara hidup anarki yang tidak lagi berdasarkan sebarang undang-undang, tetapi tiada negara bertamadun hari ini yang tidak menetapkan peraturan untuk kesejahteraan orang lain.

Tindakan tatatertib terhadap pelajar yang curang dalam akademik, sebagai contohnya, bersumberkan semangat yang ada dalam AUKU dan diperincikan dalam peraturan di setiap universiti. Adakah pelajar mahukan kebebasan untuk tidak dikenakan tindakan jika melakukan perkara salah dari segi akademik?

Dalam sebuah keluarga kecil pun, ada peraturan dan undang-undang walaupun tidak secara bertulis untuk menjamin kesejahteraan keluarga berkenaan.

Tidak cukup pindaan dan pemansuhan beberapa seksyen dalam akta berkenaan, kini desakan dibuat untuk dimansuhkan terus AUKU dalam perbendaharaan akta di negara ini, kerana ia dikatakan telah menjadi hantu mengganggu kebebasan mahasiswa.

Hantu begitu banyak muncul dalam perbualan masyarakat negara ini pada 1950-an dan 1960-an tetapi kini tidak lagi seghairah muncul pada tahun berkenaan. Kemunculan dulu bermotifkan bagi menakut-nakutkan anak-anak muda untuk keluar rumah.

Begitu pun, cerita-cerita hantu cuba dihidupkan balik melalui drama dan filem untuk menjadikan makhluk itu muncul dan terus menjadi perbualan mulut rakyat Malaysia, walaupun tidak pernah ada bukti saintifik wujudnya hantu yang boleh memberi kesan kepada kehidupan rakyat negara ini.

Adakah cerita AUKU juga muncul untuk terus menakut-nakutkan mahasiswa betapa akta itulah yang telah berjaya mengongkong mereka untuk muncul sebagai pemimpin ideal bagi rakyat Malaysia?

Jika benarlah nama AUKU itu sendiri yang menjadikan ia sebagai hantu, bukan isi kandungannya, maka bolehlah kerajaan mengubah nama berkenaan kepada nama lain seperti Akta Pemerkasaan Universiti. Akan tetapi, adakah perubahan jenis lipstik yang dikehendaki, bukan kepada isinya?

Ini kerana AUKU bukan hanya mengenai mahasiswa tetapi merangkumi aspek lain termasuk pentadbiran universiti secara umum termasuk cara pengurusan hal ehwal kewangan.

AUKU diibaratkan sebagai garisan tepi padang bola sepak untuk para pemain bermain dalam kawasan permainan. Tanpa garisan tersebut, pemain tiada pedoman mengenai kawasan permainan.

Batas yang ditetapkan oleh AUKU bukan hanya mengehadkan seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi tetapi juga mengehadkan kebebasan lembaga pengarah universiti, naib canselor dan timbalan naib canselor untuk melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya.

Jika dilihat kepada niat dan semangat AUKU, tidaklah akta itu menjadi hantu bagi menakut-nakutkan sesiapa, bahkan memandu seseorang warga universiti untuk bersifat suci hati dan mampu menyumbang kepada kebaikan negara. – UTUSAN

PROF. DR. MOHD. FO’AD SAKDAN, Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya