Gantikan jambatan gantung dengan jambatan konkrit

Gantikan jambatan gantung dengan jambatan konkrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK artikel terbitan Utusan Malaysia bertajuk Jambatan gantung rosak akibat banjir kini terbiar pada 13 Januari lalu, saya ingin menarik perhatian pihak berwajib untuk melihat semula keadaan semua jambatan gantung di seluruh negara terutama di kampung-kampung tradisional di tepi sungai.

Kebanyakan jambatan ini mungkin dibina pada awal 1960-an apabila jalan-jalan kampung terutama di bawah projek pembangunan luar bandar (PLB) giat dilaksanakan kerana pada ketika itu tidak ramai orang memiliki kereta, kebanyakannya mempunyai basikal dan sedikit sahaja yang ada motosikal. Jadi, jambatan gantung dibina bukan hanya untuk pejalan kaki tetapi penunggang motosikal dan basikal.

Selepas 60 tahun berlalu, keadaan jambatan gantung itu kini sudah berubah. Rakyat semakin mampu untuk memiliki motosikal dan kereta hingga pelajar pun ada dilihat menunggang motosikal ke sekolah. Ini menunjukkan taraf hidup masyarakat luar bandar semakin meningkat dan semakin ramai pula yang mampu memiliki kereta walaupun sekadar kenderaan terpakai.

Pun begitu, selepas berlaku banjir besar di Pahang baru-baru ini khususnya di Temerloh, didapati beberapa buah jambatan gantung rosak dan sudah tidak boleh digunakan.

Namun, saya berpendapat dan juga bersetuju dengan pandangan sebahagian penduduk untuk menggantikan jambatan gantung itu dengan jambatan konkrit yang lebih sesuai dan lebih tinggi dari aras banjir. Lebih-lebih lagi di kampung sangat berdekatan dengan bandar seperti Kampung Mambang Berulang yang jambatan gantungnya sudah beberapa kali rosak akibat banjir.

Kampung ini yang terletak cuma satu kilometer dari jalan utama Mentakab -Temerloh dan lebih kurang tiga kilometar sahaja dari pusat bandar Mentakab itu memerlukan jambatan konkrit bukan sahaja bagi membolehkan kenderaan ringan seperti kereta untuk menyeberang tetap juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan semula kampung tersebut.-UTUSAN

CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya