Dakwaan nafi royalti petroleum tidak berasas

Dakwaan nafi royalti petroleum tidak berasas

PETRONAS tidak membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum adalah di luar perairan negeri tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT dakwaan negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu dianaktiri berbanding Pulau Pinang pasca Belanjawan 2023. Ini termasuk isu penafian royalti petroleum untuk Terengganu dan Kelantan. Pun begitu, dakwaan ini tiada asas serta tanpa fakta untuk dibahaskan.

Penafian royalti petroleum lima peratus untuk Terengganu dan Kelantan menyebabkan kerajaan negeri membawa kes ini ke mahkamah pada 2010 yang lalu.

Pada tahun 2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri menarik balik saman tersebut setelah kerajaan pusat membayar Kelantan RM400 juta sebagai bayaran ‘sekali sahaja’.

Pada 25 November 2021, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan bahawa Petronas tidak membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum adalah di luar perairan negeri tersebut.

Tengku Zafrul membuat kenyataan ini berdasar peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja.

Waktu itu juga, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Haji Hassan, tidak membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Parlimen untuk dimansuhkan dan bayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu tidak dilaksanakan.

Kerajaan negeri tidak boleh menimbulkan soal pilih kasih terhadap orang Melayu, kerana pada waktu itu mereka berada dalam kerajaan pusat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menegaskan hal sama pada 24 Februari lalu bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti tunai. Ini menyebabkan pihak pembangkang menuduh kerajaan perpaduan menganiaya orang Melayu, walaupun keputusan tersebut sama seperti era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pihak yang layak mengesahkan kedudukannya ialah mahkamah.

Kesimpulanya wajarkah pihak pembangkang menyatakan kerajaan perpaduan menafikan hak orang Melayu hanya kerana menolak membayar royalti petroleum kepada dua negeri tersebut.

Kepada pihak pembangkang elakkan sentimen perkauman terhadap sesuatu keputusan kerajaan, kerana ini boleh menggugat perpaduan kaum.

Dalam kes royalti petroleum, gunalah saluran undang-undang dan lain-lain tindakan diplomasi supaya kita dapat sama-sama mengangkat Malaysia Madani stabil dan berdaya saing.-UTUSAN

TAN DEWA SAKTI
Kg. Jeram, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN