SAUDARA PENGARANG,
SELEPAS pembentangan Belanjawan 2023, segelintir ahli Parlimen mendakwa negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu diketepikan, manakala Pulau Pinang yang majoriti penduduknya Cina dan diterajui DAP diutamakan.
Dengan dakwaan ini, tular dalam media sosial bahawa Melayu sedang ‘disembelih’ di tanah airnya sendiri, bahawa pemimpin Melayu dalam kerajaan perpaduan berdendam dan berbuat zalim terhadap bangsa sendiri.
Antara bukti yang mereka bawa ialah penafian royalti petroleum untuk Terengganu dan Kelantan serta tindakan kerajaan membatalkan penghapusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Dakwaan sebegini amat tidak bertanggungjawab kerana tidak disertai dengan fakta yang benar dan dibuat semata-mata untuk meniupkan sentimen perkauman dan kebencian kepada kerajaan perpaduan.
Penafian royalti petroleum lima peratus untuk Terengganu dan Kelantan bukanlah perkara baharu. Pertikaian berkaitan hal itu telah berlarutan lama sehingga kerajaan negeri membawa kes itu ke mahkamah pada 2010.
Bagaimanapun, pada 2019 semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan negeri menarik balik saman tersebut setelah Kerajaan Pusat membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran ‘sekali sahaja’.
Pada 25 November 2021, Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing.
Menariknya, kerajaan negeri tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu itu mereka dalam kerajaan Keluarga Malaysia.
Namun, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan lagi hal ini di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023 bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti tunai kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja yang layak, kerajaan negeri mula bising.
Salahkah tindakan kerajaan perpaduan menafikan hak Kelantan dan Terengganu ke atas royalti minyak? Pertanyaan itu sukar dijawab kerana pihak yang layak mengesahkan kedudukannya ialah mahkamah. Isunya ialah mengapakah kerajaan negeri menarik balik samannya pada 2019?
Jika begitulah kedudukannya, wajarkah pihak oposisi menyatakan kerajaan perpaduan menafikan hak orang Melayu hanya kerana menolak membayar royalti minyak kepada dua negeri Melayu ini?
Mengenai hutang Felda, Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh telah menjelaskan kerajaan telah melupuskan hutang peneroka pada 2021 berjumlah RM8.3 bilion dan semua peneroka telah pun menikmati manfaat daripada pelupusan hutang tersebut.
Apa yang tidak dapat diteruskan hanyalah pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada 2021 telah memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.
Jika pembatalan pelupusan ini untuk kali kedua adalah bagi menjaga kantung negara, di manakah hujah untuk menyatakan kerajaan perpaduan mendiskriminasikan dan menganiaya orang Melayu?
Untuk negara kita maju ke depan, cukuplah kita bermain dengan sentimen perkauman yang meresahkan rakyat. Debatlah Belanjawan 2023 dengan isu yang lebih substantif melibatkan seluruh rakyat, bukan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja.-UTUSAN
DATUK DR. MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom)