SAUDARA PENGARANG,
KEMUNCULAN Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru mengejutkan banyak pihak berikutan dakwaan beliau akan berlaku sekali lagi peralihan kerajaan.
Abdul Hadi pada masa sama mengingatkan seluruh ahli Dewan Rakyat agar tidak menyalahkan pembangkang sekiranya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi akibat ‘atap bocor’ dan bukannya ‘tepuk atap’.
Bagi saya, Abdul Hadi masih tidak boleh menerima hakikat kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus tidak berhak mentadbir negara.
Kebiasaannya naratif Abdul Hadi tidak lekang dengan dalil yang mahu menunjukkan kepada para penyokongnya agar dapat menerima tindakan yang cuba dicetuskannya dan pimpinan Pas lain.
Pada hemat saya, tindak-tanduk beliau sejak kebelakangan ini sebenarnya sudah jauh terpesong daripada prinsip wasatiyah (sederhana) yang menjadi pegangan seluruh umat Islam Nusantara.
Justeru, jangan lagi mengheret rakyat dalam kemelut politik. Ini kerana rakyat sudah muak dengan sandiwara populis pemimpin Pas yang tidak habis-habis sengaja mencetuskan propaganda bagi menggugat pentadbiran kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan Abdul Hadi itu harus diambil serius oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sekiranya kenyataan beliau boleh disabitkan sebagai salah mengikut Akta Hasutan 1948. – UTUSAN
WALI TOK SONGEI, Pulau Pinang