Benarkan pengambilan pekerja asing PLKS - Utusan Malaysia

Benarkan pengambilan pekerja asing PLKS

KEDAI emas antara yang terjejas dengan larangan mengambil pekerja asing. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kita tahu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengumumkan perkhidmatan pekerja asing menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas ditamatkan secara berperingkat.

Menurut Pekeliling JIM bertarikh 28 Februari lalu, majikan subsektor terbabit tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja mereka berkuat kuasa 15 Mac. Namun, surat pekeliling tersebut tidak memperincikan sebab di sebalik penamatan itu.

Saya menyeru kerajaan agar tidak menamatkan perkhidmatan pekerja asing memiliki PLKS yang banyak digunakan oleh subsektor berkenaan. Pekerja asing dalam bidang tersebut amat penting dalam industri yang secara tradisional melibatkan ramai pengusaha dan peniaga India.

Subsektor tersebut hanya memerlukan 15,000 tenaga kerja asing iaitu gedung tekstil dan kedai gunting rambut masing-masing memerlukan 6,000 orang dan kedai emas pula hanya 3,000 pekerja asing.

Perjumpaan saya dengan pemain industri subsektor ini mendapati langkah kerajaan itu boleh memberi kesan buruk kepada survival perniagaan mereka.

Ketiga-tiga subsektor tersebut antara yang terkesan teruk akibat Covid-19 dan sebahagian besar perniagaan dalam subsektor ini adalah perusahaan kecil dan sederhana. Kegagalan kerajaan untuk memahami keperluan peniaga terbabit akan mengakibatkan mereka gulung tikar.

Jika kerajaan boleh meluluskan hampir sejuta kuota penggajian pekerja asing untuk sektor lain, maka pihak pemerintah seharusnya pertimbangkan keperluan ketiga-tiga subsektor ini yang hanya memerlukan 15,000 pekerja asing.

Saya memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai pihak yang mengawal selia ketiga-tiga subsektor ini agar memahami realiti industri tersebut.

Kerjasama daripada KPDN amat penting bagi membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) merencana tindakan segera bagi membantu ketiga-tiga subsektor berkenaan.

Dalam perkembangan lain, saya juga berharap kerajaan perpaduan tidak lupa untuk menyediakan peluang pendidikan untuk pelajar India di universiti tempatan. Ini kerana pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar daripada kemiskinan untuk masyarakat India.

Malangnya, rata-rata pelajar yang tidak mendapat tempat di universiti tempatan termasuk tidak mendapat kursus pilihan mereka berhenti daripada menyambung pengajian.

Bagi menyelesaikan isu ini, saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan penubuhan semula Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India seperti dilakukan ketika pentadbiran Perdana Menteri keenam.

Bagi saya Perdana Menteri sendiri ialah pemimpin paling sesuai untuk menyelesaikan bukan sahaja isu peluang pendidikan tetapi pelbagai lagi isu asas lain dihadapi masyarakat India.

Antara isu ini adalah pembiayaan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedia ada untuk masyarakat India seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) menerusi Tekun Nasional yang tidak mencukupi dan lazimnya hanya tertumpu pada perusahaan mikro.

Saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan dana khas untuk masyarakat India yang mana diperuntukkan pembiayaan PKS bagi membantu perusahaan ini dengan jumlah pembiayaan lebih besar berbanding RM100,000 yang ditawarkan Tekun Nasional.

Pemerkasaan PKS masyarakat India yang terlibat dalam sektor ekonomi digital juga boleh dilakukan dengan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. – UTUSAN

DATUK SIVARAJ CHANDRAN, Ahli Dewan Negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya