Utama adab ketika jalani latihan industri - Utusan Malaysia

Utama adab ketika jalani latihan industri

PROSES pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) umpama simulasi dan realitinya adalah menerusi dunia pekerjaan sebenar. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI mahasiswa tidak sedar bahawa peluang menjalani latihan industri adalah medan untuk membina rangkaian lebih baik dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka setelah menjadi graduan nanti.

Cubalah menjual diri dengan cara yang betul dan memanfaatkan ruang dan peluang bertemu dengan pelbagai pihak. Jika mahasiswa sentiasa menampilkan imej positif dan diyakini, tidak mustahil mereka akan ditawarkan pekerjaan tetap di syarikat terbabit.

Segelintir mahasiswa menganggap latihan industri hanya sekadar pelengkap pengajian dan perlu lulus semata-mata. Mereka menjalani latihan industri tanpa persediaan, memilih syarikat secara semberono sehingga akhirnya merugikan dan mengecewakan.

Pelajar diberi tempoh hampir satu semester untuk membuat persediaan dan pilihan bagi memilih dan memohon organisasi atau syarikat bersesuaian. Namun, masih ada pelajar yang tidak menggunakan peluang itu untuk memohon syarikat yang membuka peluang kepada karier mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan proses pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) umpama simulasi dan realitinya adalah menerusi dunia pekerjaan sebenar. Malah, sepanjang tempoh latihan industri juga, pelatih tidak hanya ditempatkan dalam jabatan atau dengan skop pekerjaan yang sama.

Hal ini kerana pelatih diberi peluang untuk menimba semaksimum mungkin pengalaman sepanjang tempoh latihan kerana status mereka itu sebagai pelajar latihan industri. Melalui latihan industri juga, aspek kemahiran berkomunikasi pelajar boleh diuji dan ditambah nilai.

Oleh itu, sesi latihan industri tidak boleh dipandang ringan atau hanya sebagai pelengkap pengajian semata-mata. Sematkan nilai adab dan menghormati orang sekeliling tanpa menghiraukan umur mahupun pangkat.

Jangan hanya datang ke tempat latihan dan tunggu diberikan kerja. Sebaliknya, carilah peluang untuk belajar, terus belajar dan memperbaiki diri tanpa rungutan. – UTUSAN

MUHAMMAD FAKHRUDDIN AHMAD, Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN