Usah bergantung pada kerajaan - Utusan Malaysia

Usah bergantung pada kerajaan

AHLI Kumpulan Nelayan Wanita (Kunita) di Kelantan mendapat banyak manfaat daripada program keusahawanan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEUSAHAWANAN sosial masih baharu berkembang dengan hanya 0.2 peratus daripada sembilan juta perniagaan di negara ini adalah perusahaan sosial.

Bidang keusahawanan sosial ini penting bagi memastikan perniagaan dijalankan tidak memberi impak buruk kepada masyarakat dan alam sekitar.

Pada masa sekarang, pengangguran belia di peringkat global terus meningkat dengan anggaran 621 juta berumur 15 hingga 24 tahun tidak mempunyai akses pendidikan formal dan pekerjaan.

Konflik peperangan, perubahan iklim melampau dan jurang perbezaan disebabkan kegawatan ekonomi dan krisis kesihatan termasuk impak wabak Covid-19 menyebabkan 828 juta penduduk dunia pada tahun lalu berdepan isu kekurangan makanan meruncing.

Bersandarkan angka ini, perusahaan sosial khususnya yang diterajui mahasiswa boleh memberi penyelesaian.

Sebab itu, negara yang pesat membangun bukan sahaja dari segi ekonomi malahan aspek taraf hidup masyarakat seperti United Kingdom, Belanda, Jerman, Korea Selatan malahan jiran terdekat kita, Singapura mengarusperdanakan keusahawanan sosial.

Perusahaan sosial menjadi sebuah model perniagaan mampan dalam menyediakan penyelesaian kepada cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar yang mendesak.

Sebagai contoh, D-Rev, sebuah syarikat reka bentuk produk diasaskan bersama oleh pelajar dari Universiti Stanford dan Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS) membangunkan peranti perubatan untuk membantu komuniti berpendapatan rendah.

Pencils of Promise, sebuah perusahaan sosial yang diasaskan oleh pelajar Universiti Georgetown, AS membina sekolah dan meningkatkan akses kepada pendidikan di negara membangun.

Selain itu, Solar Aid, perusahaan sosial yang diasaskan oleh pelajar dari Universiti Edinburgh, United Kingdom membangunkan dan menjual lampu solar mampu milik untuk memerangi kemiskinan dan perubahan iklim di luar bandar benua Afrika.

Mengambil beberapa contoh kejayaan global perusahaan sosial yang dibangunkan oleh mahasiswa, maka kita juga tidak harus ketinggalan dalam menerbitkan inisiatif sedemikian melalui kebijaksanaan dan kecerdasan akal luar biasa sedia ada dalam gerobok ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Didorong oleh iltizam merakyatkan universiti dan memanusiakan mahasiswa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga sedang mengorak langkah ke hadapan bagi mengukuhkan dan memperhebatkan aktiviti keusahawanan sosial.

Antaranya, Projek Usahawan Sosial UMK-Kementerian Kewangan dengan menawarkan bantuan bagi meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi penduduk Kelantan seperti memproses ikan melibatkan Kumpulan Nelayan Wanita (Kunita) di Tok Bali, Pasir Puteh dan Kampung Genting, Tumpat.

Keusahawanan sosial ini perlu bagi memastikan mahasiswa kita dilengkapi dengan pengalaman dan kemahiran mengurus perusahaan, manusia dan teknologi.

Dengan kesibukan para cendekiawan menyelidik dan menyelia, kita wajar dengan kearifan yang ada terlibat dalam menawarkan sumbangan kepada mahasiswa melalui idea dan metodologi baharu dalam keberhasilan projek keusahawanan sosial.

Akhirnya, mahasiswa dapat diperkasakan sehingga menjadi kelompok manusia yang sentiasa memikirkan idea komersial dalam menyelesaikan isu ekonomi, sosial dan alam sekitar menerusi perusahaan sosial tanpa terus bergantung nyawa dengan kerajaan. – UTUSAN

PROFESOR DATUK DR. RAZLI CHE RAZAK, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya