Uar-uarkan kepentingan tebatan banjir di televisyen

Uar-uarkan kepentingan tebatan banjir di televisyen

KEPENTINGAN tebatan banjir perlu diuar-uarkan dalam media massa sebagai panduan orang ramai.

SAUDARA PENGARANG,

MUSIM banjir besar di negara ini berlaku setiap akhir tahun disebabkan musim Monsun Timur Laut sekitar November sehingga Mac.

Pengurusan banjir oleh kerajaan mendapat kritikan sesetengah pihak terutama berkaitan kelemahan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi-situasi yang tidak dijangka.

Selain itu, kegagalan kerajaan mengguna pakai sistem mesej pukal negara untuk mengutarakan maklumat-maklumat berkenaan banjir juga mengundang rasa tidak puas hati rakyat terutama mereka yang terkesan dengan bencana alam itu.

Justeru, lebih elok jika maklumat berkaitan banjir disiarkan di media massa terutama media elektronik seperti televisyen dan radio sebagai panduan rakyat dalam menghadapi banjir. Ini penting bagi mangsa yang terkesan mengambil tindakan sewajarnya jika air mula naik.

Panduan yang diuar-uarkan secara berkesan dapat mengurangkan kerugian isi rumah akibat kerosakan harta benda dan dapat mengelakkan kehilangan nyawa.

Saya selalu melihat dalam siaran berita televisyen mengenai penduduk di kawasan banjir tidak menyedari kepentingan pintu dan dinding tebatan banjir yang berfungsi bagi menghalang air dari masuk ke dalam rumah. Malah mereka tidak memahami kegunaan tebatan banjir.

Bahkan saya tidak pernah melihat dalam laporan berita tentang fungsi tebatan banjir yang digunakan penduduk. Ini kerana kurangnya maklumat tentang manfaat projek itu.

Tebatan banjir ialah tindakan mengurangkan jumlah atau isi padu air sungai di bahagian hulu sebelum sungai memasuki pusat bandar raya.-UTUSAN

CH SYAM
Seremban, Negeri Sembilan

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN