Tambah ilmu rumah tangga sebelum berkahwin

Tambah ilmu rumah tangga sebelum berkahwin

PASANGAN muda disaran menimba ilmu rumah tangga sebelum melayari batera perkahwinan bagi mengelakkan perceraian. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

APABILA berbicara tentang cinta dan rumah tangga, ramai diantara kita akan terbayang hal yang manis-manis sahaja. Namun hakikatnya bukan begitu, rumah tangga merupakan medan untuk berbakti dan beramal.

Tidak dinafikan, berkahwin pada usia muda menjadi trend yang hangat diperkatakan sehingga terdapat ramai pasangan berkongsi foto dan video di media sosial.

Pun begitu, kita juga tidak lekang daripada mendengar isu perceraian melibatkan pasangan muda. Perceraian sering menjadi jalan pintas untuk menamatkan konflik.

Tanpa sedar masih ramai memandang remeh isu pernikahan, sedangkan ia adalah sesuatu yang suci dan mengikat semua janji.

Antara punca utama perceraian disebabkan faktor pendapatan yang rendah, kemiskinan, pengabaian nafkah dan tanggungjawab, kurang komunikasi, belum bersedia serta keganasan rumah tangga seperti penderaan dan pasangan yang tidak sehala atau tidak sekufu atau secara keseluruhannya adalah melibatkan faktor intrinsik iaitu tiada pegangan agama yang kukuh.

Oleh yang demikian, semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengurangkan kadar perceraian. Setiap perceraian yang berlaku berpunca daripada kurangnya pemahaman tentang konsep sebenar perkahwinan dan kejahilan syariat atau fiqh rumah tangga.

Pendedahan awal perkahwinan perlu diberikan kepada anak muda dengan mendalam berkaitan ilmu pengetahuan terutama ilmu agama, komunikasi, psikologi, pendidikan anak-anak bagi pasangan suami dan isteri. Bahkan pengamalan serta meningkatkan amal ibadah yang betul merupakan salah satu kaedah efektif bagi membendung timbulnya masalah dalam rumah tangga.

Perkahwinan adalah satu keperluan bagi setiap individu yang hidup di dunia ini. Ini kerana Allah SWT telah menciptakan manusia hidup secara berpasang-pasangan. Jadi, bagi mengelakkan dari berlakunya perceraian, maka pasangan muda perlu penuhi dada dengan ilmu sebelum menempuh alam berumah tangga.-UTUSAN

NUR HANI HIJANAH ROHAIFI AZRI
Program Komunikasi Media Baharu, USIM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN