Sudahlah jadi mangsa scam, bank pula tidak berperikemanusiaan

Sudahlah jadi mangsa scam, bank pula tidak berperikemanusiaan

SEPATUTNYA pihak bank mengambil tanggungjawab terhadap kes-kes scam, bukannya menekan pelanggan yang menjadi mangsa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA adalah salah seorang mangsa penipuan scam yang kerugian kira-kira RM26,000.

Kejadian ini berlaku pada Ogos tahun lalu yang pada mulanya membabitkan wang dalam akaun semasa Maybank sebanyak RM2,900. Ia dipindahkan secara tidak sah ke satu akaun e-dompet sebuah platform beli-belah dalam talian.

Selepas itu kredit kad Maybank saya pula kena scam membabitkan pemindahan ke beberapa akaun e-dompet terkenal milik individu lain. Transaksi itu langsung tidak membabitkan apa-apa kebenaran atau kelulusan daripada saya. Saya mengetahui terjadinya transaksi selepas menerima penyata bulanan.

Selepas itu saya segera membuat laporan polis dekat Taman Melawati dan terus memanjangkan aduan dengan harapan isu ini dapat diselesaikan segera.

Aduan itu membabitkan pemindahan secara tidak sah daripada kad kredit ke akaun e-dompet empat syarikat penyedia perkhidmatan. Sehingga hari ini, setelah enam bulan, saya masih belum mendapat kembali wang yang hilang daripada akaun semasa bernilai RM2,999.

Bagi kad kredit pula, saya mendapat kembali wang berjumlah RM11,966 yang membabitkan pembayaran kepada dua syarikat e-dompet. Untuk dua syarikat lagi, pihak Maybank meminta saya berurusan terus dengan syarikat-syarikat berkenaan.

Mana mungkin saya seorang pesara yang berumur 67 tahun mampu melakukannya?

Sepatutnya pihak Maybank perlu mengambil tanggungjawab kerana kejadian ini membabitkan syarikat perbankan tersebut.

Lebih malang, kini Maybank menghantar notis tuntutan supaya saya menyelesaikan tunggakan sebanyak RM17,939.69 termasuk faedah sekali. Nampaknya bank tersebut tidak peduli sama ada pelanggan menjadi mangsa scam atau tidak. Mereka tetap menuntut tanpa belas ihsan.

Saya memanjangkan aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi jawapan yang diterima ialah mereka tidak boleh campur tangan dalam urusan bank berkenaan.

Mereka menasihatkan saya melakukan prosedur tertentu yang mana ia telah dilakukan, iaitu mengadu kepada BNM. Yang saya hairan, kenapa bank tidak bekerjasama dengan syarikat penyedia e-dompet berkenaan untuk membekukan aliran wang ke akaun e-dompet milik scammer sebaik sahaja saya mengadu?

Sebaliknya saya pula yang ditekan dan cuba dipersalahkan.

Kini saya bukan sahaja menjadi mangsa scammer tetapi juga mangsa tidak berperikemanusiaan bank tempatan. Dalam kes saya ini, scammer terlepas, mangsa pula kena ‘hukum’ dengan bank.-UTUSAN

ROSLEE AZMI
Bukit Antarabangsa, Ampang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya