SAUDARA PENGARANG,
SEMBILAN tahun lalu, Pejabat Daerah Tanah (PDT) Kampar memanggil lebih 200 warga Perak khususnya penduduk Kampar, Gopeng dan Kampung Jeram hadir temu duga di Pejabat Penghulu Teka di Gopeng untuk Pejabat Daerah Kampar melupuskan sebidang tanah bekas lombong di Gua Sanding dekat Kampung Jeram.
Dalam temu duga itu, peserta ditanya pelbagai soalan termasuk kemampuan membayar premium tanah, pekerjaan, pendapatan dan pelbagai butiran berkaitan demografi lain.
Pelupusan itu bertujuan membuka kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan pelebaran kampung bagi kalangan rakyat yang tiada tanah untuk mendirikan rumah. Saiz tanah RPT tersebut berkeluasan 50 x 80 kaki atau 4,000 kaki persegi.
Namun, sehingga saat ini tiada sebarang keputusan diperoleh dan pemohon masih tertunggu-tunggu untuk beberapa jawatankuasa bertindak ditubuhkan. Sebaliknya kawasan tanah dimaksudkan sudah diteroka warga asing yang menjalankan aktiviti pertanian komersial seperti menanam jagung, keledek dan sayur-sayuran.
Tanah itu diteroka secara besar-besaran dan tiada siapa tahu daripada siapa mereka memperoleh kebenaran untuk menggunakan tanah kerajaan. Apabila dirujuk kepada PDT Kampar, pihak berkenaan pun tidak mengetahui tentang perkara itu. PDT berkenaan memberikan pelbagai alasan seperti sibuk apabila diminta melakukan siasatan.
Kemudian apabila dirujuk kepada wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah, beliau turut memberi alasan sama. Keadaan ini menyebabkan permohonan tergantung selama sembilan tahun. Pihak yang menceroboh tanah ini secara haram telah mendapat hasil yang begitu banyak tanpa membayar sewa atau pajakan kepada kerajaan.
Keadaan ini amat dikesali kerana warga asing terlepas daripada membayar cukai tanah melalui aktiviti pertanian komersial yang mereka lakukan. Justeru, PDT Kampar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd. Azlan Helmi diminta untuk menjalankan siasatan terperinci seterusnya dapat mengambil tindakan terhadap isu ini.-UTUSAN
TOH TAN DEWA SAKTI
Kampar, Perak