Mesra Muslim bukan sekadar makanan halal - Utusan Malaysia

Mesra Muslim bukan sekadar makanan halal

MALAYSIA terkenal sebagai negara yang menjadi tumpuan pelancong dari negara-negara Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi mempromosi sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2023 sebagai persediaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2025 yang menyasarkan ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan sehingga RM76.8 bilion.

Daripada jumlah itu, ramai juga melibatkan pelancong dari negara-negara Islam kerana Malaysia terkenal sebagai destinasi pelancong mesra Muslim. Mesra Muslim merujuk kepada gaya hidup halal yang diamalkan seseorang berdasarkan keperluan dan undang-undang syariah berpandukan al-Quran dan sunah.

Ia meliputi fikiran, akhlak, sikap, tabiat, aktiviti harian, pekerjaan dan harta benda berkaitan seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat merangkumi amalan pekerjaan dan aktiviti masa lapang sebagai asas identiti seseorang individu Muslim.

Lawan kepada halal pula adalah haram. Haram adalah sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak dan jika seseorang melakukannya, mereka akan menghadapi kemurkaan Allah SWT. Konsep halal semakin mendapat perhatian rakyat Malaysia baik masyarakat Islam atau bukan Islam.

Masyarakat mulai sedar tentang kepentingan halal dalam kehidupan seharian mereka, namun kesedaran ini kebanyakannya tertumpu pada kategori barangan tertentu seperti makanan, produk kesihatan, produk perbankan, pakaian dan sebagainya.

Istilah halal sepatutnya digunakan untuk setiap aspek kehidupan rakyat. Nampaknya perkara itu mula dilakukan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali berbanding 22 kali setahun yang diluluskan pada tahun sebelum ini.

Pengurangan cabutan nombor ramalan atau judi ini mengangkat nilai maqasid syariah dari segi menjaga harta dengan mengurangkan kebarangkalian kehilangan harta rakyat akibat tabiat suka berjudi.

Pengurangan cabutan judi ini juga menaikkan imej Malaysia di mata dunia sebagai salah sebuah negara yang tidak bergantung kepada sumber pendapatan judi. Dalam pada itu, dari segi pelancongan mesra Muslim, ia tidak harus hanya terhad kepada penyediaan makanan halal tetapi juga merangkumi perkhidmatan hospitaliti yang mematuhi undang-undang syariah.

Ini merangkumi hotel, pusat peranginan, restoran dan syarikat penerbangan yang tidak menyediakan minuman beralkohol, menawarkan makanan dengan sijil halal dan kemudahan kesihatan berasingan untuk wanita, kemudahan solat dan persekitaran yang umumnya mesra Muslim.

Kesemua ciri produk pelancongan mesra Muslim ini adalah selari dengan agenda Malaysia Madani dalam memelihara akhlak dan maruah seorang manusia. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Di samping itu, Malaysia Madani juga menyokong pembangunan kewangan dan perbankan Islam yang lebih sofistikated agar suatu model institusi ekonomi negara yang baharu dapat diwujudkan.

Potensi besar kewangan Islam dapat diserlahkan dengan cara menetapkan kompas ke arah memenuhi maqasid syariah yakni keadilan yang berasaskan pemerkasaan rakyat miskin dan terpinggir. – UTUSAN

MUHAMMAD IRHAMMUDIN IBRAHIM, Pensyarah Pengajian Industri Halal Kolej Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya