Letak meja, kerusi punca sesak di Bandar Mahkota Cheras - Utusan Malaysia

Letak meja, kerusi punca sesak di Bandar Mahkota Cheras

PENIAGA sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, Selangor meletakkan kerusi dan meja sebelum pukul 5.30 petang. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TINDAKAN pemilik sebuah restoran meletakkan kerusi dan meja di kawasan tempat letak kenderaan di Jalan Temenggung 11/9, Bandar Mahkota Cheras, Selangor seawal pukul 5 petang menjadi punca utama kesesakan di kawasan tersebut.

Ia ekoran masih banyak kenderaan melalui jalan tersebut pada waktu itu. Malah, berdekatan restoran tersebut, terletak sebuah bengkel kenderaan, kedai makan, kedai roti, pejabat dan juga prasekolah/taska.

Ibu bapa dan penjaga terpaksa meletakkan kenderaan di laluan yang menghalang kenderaan lain untuk mengambil anak-anak dari sekolah kerana tiada petak meletak kenderaan kosong. Ini menyebabkan laluan dua hala itu menjadi sesak. Situasi lebih teruk jika hujan.

Ada masanya suasana bising dengan bunyi hon oleh pemandu kerana laluan menjadi sempit dan kereta mereka dihalang oleh kenderaan lain.

Jika sekalipun ruang restoran itu sempit atau saban hari dikunjungi pelanggan ramai, cubalah tidak mementingkan diri sendiri. Tidakkah mereka sedar keadaan yang kelam-kabut di laluan itu antara pukul 5 hingga 6 petang pada setiap hari waktu bekerja?

Jika mahu juga meletakkan kerusi dan meja, lakukanlah selepas waktu puncak supaya tidak mengganggu laluan dan orang ramai yang masih mempunyai urusan.

Diharap Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) mengambil tindakan tegas. Janganlah sekadar memantau ketika waktu pejabat, kerana peniaga hanya akan meletakkan kerusi dan meja seawal pukul 5 petang.

Ketiadaan pemantauan secara berkala menyebabkan peniaga berani membuat ‘hal’ kerana yakin tidak dikenakan sebarang tindakan sedangkan perbuatan meletakkan kerusi, pasu bunga dan lain-lain di petak meletakkan kenderaan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

AHMAD, Bandar Mahkota Cheras, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya