Konsep madani harus berasas acuan tempatan - Utusan Malaysia

Konsep madani harus berasas acuan tempatan

ANWAR Ibrahim mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin gerakan Islam beraliran sederhana dari Tunisia, Rached Ghannouchi (kanan) sejak menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1974. – FACEBOOK ABIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KONSEP Malaysia Madani yang pernah digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997 dahulu kembali diberi nafas baharu sekarang.

Terdapat pelbagai pandangan dari mana asal konsep ini termasuk ada yang berpendapat, ia mendapat ilham daripada idea pemimpin gerakan Islam beraliran sederhana dari Tunisia, Rached Ghannouchi.

Anwar sendiri mengakui ada kelompok yang bimbang kerana istilah madani berasal daripada bahasa Arab. Bagaimanapun, beliau menegaskan, konsep Malaysia Madani adalah satu gagasan yang menyeluruh dan adil kepada semua rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula berkata, konsep Malaysia Madani diramal menempah kegagalan sekiranya menjadikan idea masyarakat sivil Barat sebagai rujukan pentadbiran.

Sebenarnya, konsep ini pada asalnya telah banyak dikupas oleh ramai pemikir Islam terdahulu seperti al-Farabi, Ibn Miskawayh dan Ibn Khaldun. Bagi saya, adalah perlu kita menggunakan pendekatan, acuan dan kerangka tempatan dalam mengisi konsep Malaysia Madani ini.

Konsep itu berteraskan enam nilai utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, keyakinan atau kepercayaan dan ihsan. Ia menjadi kerangka atau panduan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bertamadun atau berperadaban.

Dalam mengisi agenda masyarakat madani, penting untuk menggunakan falsafah sedia ada sebagai acuannya agar usaha ini mempunyai pasak kukuh dan pencapaian diinginkan yang menepati cita rasa kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri, nilai dan identiti tersendiri.

Bagi memenuhi nilai pertama iaitu kemampanan, sudah pasti aspek keseimbangan sangat diperlukan. Keseimbangan yang dimaksudkan ini haruslah bermula pada diri sendiri melalui tiga komponen utama iaitu fizikal, intelektual dan spiritual.

Hanya manusia yang seimbang ketiga-tiga komponen ini mampu menjadi insan yang dapat memaksimumkan keupayaan diri untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain. Keseimbangan ini juga merupakan teras kepada sebuah kemampanan.

Dalam pada itu, nilai kesejahteraan dan berdaya cipta juga terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaaan (FPK). Proses pendidikan yang merupakan usaha berterusan ini membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat.

Matlamat pendidikan yang terdapat dalam FPK ini bersifat menyeluruh dan bersepadu merangkumi empat aspek atau komponen utama kejadian manusia iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI) bagi melahirkan manusia sejahtera.

Melalui seorang individu yang berilmu dan berkemahiran, boleh membawanya menjadi insan berdaya cipta dan inovatif, bersama nilai hormat dan bertanggungjawab yang digarap dalam proses pendidikan dilaluinya.

Hanya insan sejahtera dan kompeten mampu menjadi penyumbang kepada kemajuan negara dalam semua aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik, sosial dan pendidikan.

Menyentuh mengenai nilai keyakinan atau kepercayaan dan ihsan (perbuatan yang baik), kita boleh merujuk kepada Rukun Negara melalui lima prinsip jelas khususnya prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan.

Asas kehidupan beragama yang akan membimbing manusia ke arah kebaikan dan kebenaran khususnya dalam sebuah kehidupan pelbagai etnik.

Nilai ihsan pula mendidik seseorang untuk bersifat jujur dan amanah, sentiasa melakukan kebaikan meskipun tidak ada orang melihat. – UTUSAN

DR. RATNA ROSHIDA, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya