Kepimpinan UMNO harus prihatin teguran ikhlas - Utusan Malaysia

Kepimpinan UMNO harus prihatin teguran ikhlas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik dengan pandangan diberikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai hidup mati UMNO pada masa hadapan.

Penentuan utama tentang nasib masa depan parti tersebut adalah prestasi pencapaiannya dalam pilihan raya umum (PRU).

Sebagaimana dinyatakan Ismail Sabri dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia bertajuk Berubah atau disingkir rakyat pada 5 Februari lalu, UMNO tidak boleh menafikan hakikat tentang peranan utama anak muda dalam membuat undian semasa diadakan pilihan raya.

Ini telah dibuktikan dalam PRU15 apabila anak-anak muda yang kurang yakin kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) telah mengundi parti lain sebagai alternatif menyebabkan ia kalah teruk.

Memang benar sebagaimana dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri itu bahawa pengundi muda yang menolak UMNO dalam PRU15 lalu akan terus mengundi dalam PRU16 akan datang.

Pada PRU16, akan ada tambahan pengundi muda baharu dan jika UMNO terus mengabaikan golongan terbabit, tidak mustahil parti itu akan menerima nasib sama atau lebih teruk lagi.

Memang benar sebagaimana dinyatakan oleh Ismail Sabri bahawa pucuk pimpinan UMNO perlu merangka strategi bermula sekarang bagi menarik sokongan golongan muda dan peringkat umur lain atau parti tersebut akan berdepan risiko disingkir terus oleh rakyat selama-lamanya.

Yang nyata rakyat mahu pemilihan pemimpin yang akan mengisi jawatan pucuk pimpinan parti dibuat melalui pengundian termasuk Presiden dan Timbalan Presiden.

Jika langkah itu dilakukan, saya percaya rakyat akan berpuas hati dan mereka lebih yakin kepada UMNO apabila diadakan PRU16 nanti.

Saya berharap semua pihak faham bahawa itu adalah suara ikhlas dari benak hati Ismail Sabri yang bersih untuk memulihkan kekuatan parti. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN