Kejar habuan, pesakit terabai? - Utusan Malaysia

Kejar habuan, pesakit terabai?

KKM akan menjalankan satu kajian baharu untuk menyemak semula keperluan sebenar negara bagi pelbagai kategori sumber manusia untuk kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 10 Februari lalu, muka hadapan Utusan Malaysia bertajuk Enam bulan tun­ggu dibedah menyiarkan pendedahan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye bahawa pesakit kronik terpaksa menunggu tiga hingga enam bulan untuk berjumpa, dirawat dan dibedah ekoran kekurangan doktor pakar yang kini hanya berjumlah 13,000 orang berbanding keperluan 26,000.

Menurut beliau, kesan daripada ketidakupayaan sistem kesihatan tersebut memberi khidmat kepada rakyat, pesakit terpaksa mencari doktor swasta tetapi mereka terpaksa membayar kos mahal.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan terdapat 4,263 jawatan tetap bagi pegawai perubatan untuk diisi pada 2023.

Satu permulaan yang baik tetapi negara bukan memerlukan jumlah tersebut untuk tahun ini sahaja, malah ia diperlukan setiap tahun bagi memastikan masalah berkenaan dapat dibendung.

Hospital kerajaan terus menjadi tumpuan kerana hakikatnya, kos rawatan swasta meningkat berkali-kali ganda. Jangankan golongan berpendapatan sederhana (M40), mereka yang berada dalam kategori berpendapatan tinggi (T20) pun turut menggaru kepala.

Bagi yang mempunyai insurans, mungkin agak kurang bebanan ditanggung, namun bukan semua penyakit dapat dilindungi.

Bagi memastikan jumlah doktor mencukupi di hospital dan klinik kerajaan, pengagihan sumber manusia perlu dirombak semula. Kadangkala sesetengah jabatan atau hospital mempunyai jumlah kakitangan berlebihan.

Malangnya, tempat lain khususnya di pedalaman mempunyai banyak kekosongan yang tidak mendapat perhatian. Ramai doktor tidak mahu berkhidmat di luar kota. Mereka lebih selesa di bandar besar.

Kata mereka, jika bukan berada di hospital utama atau terkemuka, sukar untuk mendapatkan tempat atau pengalaman jika ingin melanjutkan pelajaran. Jika semua ini terus dilayan, rakyat luar bandar akan terus terpinggir dan gagal mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik diperlukan.

Hadkan juga bilangan doktor kerajaan daripada mengambil bahagian atau melakukan kerja sampingan di hospital swasta. Alasan memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan, tidak lagi relevan pada masa kini kerana gaji kakitangan awam sekarang hampir setanding atau lebih baik daripada mereka yang berada di luar sana.

Sering kali kita dengar cerita yang sama. Ramai doktor dari hospital kerajaan membuat lokum atau bekerja sampingan di hospital swasta. Kerja di tempat sendiri pula terabai dan tidak mendapat perhatian.

Malah, ada yang menyerahkan tugas hakiki kepada doktor baharu atau tidak berpengalaman untuk merawat pesakit di fasiliti mereka. Tempoh menunggu menjadi lama kerana doktor kerap menangguh pembedahan atau rawatan berikutan terlalu sibuk mencari habuan lebih lumayan di luar.

Ini bukan satu gurauan, malah senario berkenaan sudah berleluasa dan menjadi kenyataan. Bagi mereka yang tidak mempunyai sumber kewangan, terpaksalah bergolok-bergadai demi mengumpul wang supaya pembedahan dapat segera dilakukan di hospital swasta. Sedihkan?

Semua ini perlu dihentikan. Jika anda bekerja dengan kerajaan, tumpukan perhatian terhadap tugas yang diberikan. Andai ingin berkhidmat di sektor swasta, tidak ada masalah.

Beribu lagi insan yang mampu untuk mengambil tempat anda. Tidak ada orang yang tidak boleh digantikan. – UTUSAN

DR1, Alor Setar, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.