Tubuh segera Unit Anti Pelaburan Haram dan Scam

Tubuh segera Unit Anti Pelaburan Haram dan Scam

DIHARAP Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil perhatian atas saranan ini agar penipuan pelaburan sebegini dapat terus dihentikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH tiba masanya Kementerian Komunikasi dan Digital menubuhkan Unit Anti Pelaburan Haram dan Scam ekoran terlalu banyak penipuan melibatkan pelaburan. Seperti sedia maklum, pada masa ini banyak orang awam tertipu dengan skim pelaburan yang tidak wujud tanpa lesen bahkan menjanjikan bulan dan bintang.

Hasilnya, jutaan ringgit rugi. Banyak orang awam tertipu dengan skim pelaburan haram tetapi sehingga saat ini tiada tindakan awal daripada kerajaan untuk mendakwa mereka yang mengiklankan melalui internet.

Walaupun menyedari angka penipuan meningkat saban tahun, namun tiada tindakan pencegahan termasuk menangkap dan mengadili penjenayah di mahkamah untuk mencegah orang awam daripada terus tertipu seperti yang kita boleh baca di dada akhbar.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Disember tahun lalu mendedahkan menerima 220 laporan berhubung skim penipuan Zuttelo melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM84.6 juta Ogos 2022 yang dikesan aktif menjalankan kegiatan penipuan di seluruh negara.

Skim pelaburan ini menawarkan sembilan pakej pelaburan dengan jumlah antara AS$630 hingga AS$12,700 dengan setiap pelabur dijanjikan pulangan minimum sebanyak 16.5 peratus sebulan.

Sementara Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim juga pada Disember tahun lalu mendedahkan sekumpulan 180 mangsa penipuan sindiket pelaburan yang dikatakan mengaut kira-kira RM3 bilion daripada 10,000 individu, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Kebanyakan mangsa sindiket dijalankan sebuah syarikat itu terdiri daripada warga emas yang menyertai skim pelaburan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, tertipu dengan tawaran dividen yang tinggi.

Mereka mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyertai program pelaburan ini. Ada juga yang menutup akaun insurans dan mengeluarkan wang mereka selain meminjam wang daripada along.

Mangsa difahamkan diperdaya oleh ejen-ejen pelaburan tersebut dengan tawaran dividen yang tinggi mencecah 17 peratus sebulan.

Justeru, saya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil perhatian atas saranan ini agar penipuan pelaburan sebegini dapat terus dihentikan.-UTUSAN

CH SYAM
Seremban, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.