Sekat drastik perbelanjaan boleh cetus deflasi

Sekat drastik perbelanjaan boleh cetus deflasi

KUASA membeli dijangka menurun pada tahun ini ekoran inflasi yang bakal dihadapi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANYAK pihak meramalkan dunia akan mengalami kemelesetan dan inflasi berikutan kesan daripada pemulihan ekonomi dunia selepas pandemik Covid-19 pada tahun ini. Hal ini dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd.Yunus bahawa Malaysia akan memasuki fasa mencabar pada 2023 dengan memperlihatkan gangguan pada rantaian pembekalan, ketidaktentuan konflik geopolitik dan pasaran.

Beberapa inisiatif kerajaan yang dilihat positif dalam membantu rakyat dan negara menangani inflasi ialah dengan penurunan kadar tol di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas).

Selain itu, pengekalan tarif elektrik kepada pengguna domestik serta perusahaan kecil dan sederhana juga bakal membantu dalam mengurangkan beban rakyat yang masih tidak menunjukkan tanda penurunan.

Dalam konteks individu hari ini, zaman inflasi adalah kitaran yang pasti berlaku dalam ekonomi. Ini kerana sesetengah ahli ekonomi menganggap inflasi yang berkadar sederhana adalah perlu bagi memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah lokaliti. Apa yang perlu dilakukan ialah melaksanakan penggunaan sumber yang optimum dengan mengasingkan perkara keperluan dan kehendak.

Hal ini boleh merujuk kepada prinsip doruriyyat (keperluan asasi), hajiyyat (kemestian) serta tahsiniyyat (pelengkap). Perbelanjaan yang berbentuk tahsiniyyat atau semata-mata kehendak boleh dikurangkan tanpa mengabaikan keperluan dan kemestian bagi mengekalkan hidup yang seimbang.

Lanjutan perkara di atas, sewajarnya kita tidak perlu berasa panik dengan ramalan-ramalan mengenai inflasi. Ia bukanlah krisis seperti peperangan atau malapetaka gempa bumi yang menghancurkan, sebaliknya krisis pembekalan dan ketidaktentuan harga yang boleh dimitigasi dengan beberapa mekanisme sedia ada dan diusahakan oleh pelbagai pihak.

Justeru, perancangan kewangan adalah perkara penting dalam semua keadaan dan suasana. Pengawalan perbelanjaan daripada yang tidak berapa penting kepada perkara lebih penting adalah satu perubahan perlu berlaku dalam suasana begini.

Kita juga adalah unit ekonomi yang penting dalam ekosistem ekonomi. Sekiranya kesemua kita menyekat secara drastik corak perbelanjaan selama ini, ia mungkin sedikit sebanyak mengganggu aliran wang di dalam ekonomi dan boleh menjadi faktor kepada deflasi yang juga merupakan satu krisis ekonomi yang lebih kompleks dan rumit.-UTUSAN

DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya