Pantas atasi isu kepentingan rakyat - Utusan Malaysia

Pantas atasi isu kepentingan rakyat

MALAYSIA perlu mempunyai strategi kukuh dalam menangani persepsi kebencian yang semakin dilihat sukar untuk dikawal. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, berlaku perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem, Rasmus Paludan di Stockholm, Sweden yang merupakan tindakan melampau serta terdesak kumpulan terpencil untuk menyebar luas naratif kebencian, antimigrasi dan anti-Islam bagi mendapat perhatian.

Membina persepsi kebencian merupakan bentuk hakisan adab dan nilai sehingga membawa keruntuhan tamadun sesebuah negara. Perbuatan sedemikian tidak seharusnya dijadikan contoh oleh rakyat negara ini.

Madani yang merujuk kepada ketamadunan dan nilai peradaban sesebuah negara bergantung kepada tahap pemikiran dan tindakan yang ditonjolkan oleh setiap warga yang menjadi tunjang asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa.

Persepsi kebencian juga akan melahirkan satu bentuk naratif baharu yang mempunyai elemen negatif sehingga menggugat kestabilan dan kemakmuran Malaysia. Persepsi kebencian secara berterusan akan memberi kesan berpanjangan, antaranya membawa imej negatif Malaysia di luar negara.

Justeru, kepemimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menoktahkan persepsi kebencian dalam kalangan pihak tidak bertanggungjawab sehingga memberikan kesan buruk terhadap kestabilan politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

Kestabilan politik, ekonomi dan sosial mampu membawa kecemerlangan Malaysia bagi menggalakkan kemasukan lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara.

Dasar dan hala tuju perlu jelas bagi mewujudkan tata kelola yang telus serta memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat kerana isu dan cabaran kini memerlukan kesungguhan semua pihak untuk bangkit membina semula negara.

Untuk itu, jelas kepada kita bahawa semua pihak yang cintakan negara perlu membanteras persepsi kebencian agar Malaysia diyakini oleh masyarakat dunia serta mampu membina generasi yang mempunyai nilai dan adab yang tinggi.

Cadangan dan kritikan membina seharusnya menjadi penyelesaian terhadap isu berbangkit di dalam negara berbanding mewujudkan persepsi kebencian di mana ia tidak memberikan keuntungan bahkan membawa banyak kesan buruk terhadap kerajaan perpaduan.

Setiap warga perlu melontarkan pandangan yang bernas serta mampu membawa idea luar biasa kepada kepemimpinan melalui saluran yang betul. Para pemimpin pula perlu dengan segera menangani isu berbangkit secara tuntas tanpa birokrasi berpanjangan.

Jika hal demikian berlaku, pasti ia mampu membawa negara ke arah sebuah masyarakat yang prihatin dan progresif serta cakna terhadap masalah berbangkit.

Situasi ini sebenarnya memerlukan komitmen semua pihak dan niat perlu didasari dengan tujuan baik bagi menghasilkan sebuah idea dan naratif baharu yang lebih segar dan positif.

Kepantasan dan penampakan pemimpin mengatasi isu rakyat mampu mengatasi persepsi buruk yang dibawa oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, seterusnya memberikan nilai tambahan terhadap pencapaian kementerian atau agensi dilantik.

Justeru, Malaysia perlu bergerak seiring dengan nilai adab yang tinggi bagi warganya. Negara ini memerlukan generasi yang bebas daripada amalan persepsi kebencian dengan memastikan setiap buah ­fikiran dan jalan penyelesaian terhadap sebarang isu dapat diselesaikan dengan bijak.

Malaysia juga perlu mempunyai strategi kukuh dalam menangani persepsi kebencian yang dilihat semakin sukar untuk dikawal. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.