Menunggu pendekatan ekonomi manusiawi - Utusan Malaysia

Menunggu pendekatan ekonomi manusiawi

ANWAR Ibrahim (dalam bulatan) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak selama dua tahun kerana menggerakkan Demonstrasi Baling 1974. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah melalui pahit getir perjuangan sama ada dalam bidang kemasyarakatan, politik dan dakwah.

Perjuangan melibatkan bidang kemasyarakatan bermula sejak beliau menjadi mahasiswa Universiti Malaya (UM) apabila membangkitkan isu penduduk miskin di Baling, Kedah.

Peristiwa Demonstrasi Baling 1974 adalah bukti keprihatinan beliau terhadap persoalan mengenai masyarakat miskin luar bandar, pinggir bandar dan desa terpencil yang sangat daif, susah dan tersisih daripada arus pembangunan perdana.

Atas kesedaran itulah, pemimpin berjiwa rakyat ini melancarkan satu gerakan mahasiswa yang memprotes dan mengkritik sekeras-kerasnya sikap kerajaan ketika itu yang dilihatnya tidak mempedulikan penderitaan dan kesusahan hidup rakyat luar bandar di Baling.

Rata-rata penduduk di situ ialah penoreh getah yang sekian lama hidup melarat sehingga ada hampir mengalami kebuluran.

Perjuangannya mendapat respons keras kerajaan pada masa itu yang menangkap dan menahan Anwar di pusat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak selama dua tahun.

Kerana latar belakang itu, bukanlah aneh apabila Institut Yusof Ishak (ISEAS) di Singapura pada 2020 menerbitkan dokumen kajian bertajuk The making of Anwar Ibrahim’s ‘humane economy’ bagi mengiktiraf pendekatan ekonomi manusiawi yang diperjuangkan oleh beliau.

Ekonomi manusiawi yang lebih memihak kepada pembangunan rakyat dikatakan terbaik dan boleh dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak.

Sebab itu Anwar sejak mula dilantik menjadi Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan mesti mengambil kira soal kemanusiaan dalam memajukan kehidupan masyarakat desa dan bandar.

Beliau mahu masyarakat Malaysia terutama golongan miskin dan sederhana diberikan pembelaan dengan cara kekayaan diagihkan secara adil untuk semua dan memajukan masyarakat desa dan bandar secara menyeluruh.

Justeru, saya cenderung menamakan kerajaan beliau sebagai kerajaan madani (maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan) yang dibentuk atas dasar kerjasama untuk mencapai kebahagiaan sejati bagi semua rakyatnya.

Kerajaan madani menekankan prinsip rahmah atau nilai-nilai kasih sayang sesama insan yang diterjemahkan dalam membangun dan memajukan negara ini.

Oleh itu, islah (pembaharuan) yang cuba dibawa Anwar harus dihayati oleh semua pihak termasuk dalam kalangan kaum pemodal di negara ini.

Anwar juga mahu melihat wujud keharmonian beragama untuk semua kaum di negara ini. Semuanya itu harus dilakukan tanpa mengesampingkan prinsip-prinsip teras Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Anwar dikenali sebagai tokoh yang mampu berbicara dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik, falsafah, agama, budaya dan sastera, malah dalam bidang teknologi atau ilmu-ilmu kontemporari sekalipun.

Beliau adalah manusia yang banyak membaca dan berfikir serta mampu mencetuskan pemikiran yang boleh dijadikan kajian seperti pemikiran masyarakat madani dan model ekonomi manusiawi.

Yang menjadi cabaran kepada beliau ialah bagaimana pemikiran yang besar-besar itu mahu diterjemahkan dalam bentuk praktikal yang dapat digapai dan dirasai oleh seluruh rakyat.

Ini memerlukan komitmen tinggi daripada barisan Kabinet dan jentera pentadbirannya serta semua pihak termasuk sektor swasta. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya