Jadikan media baharu medium sebar ilmu, dakwah

Jadikan media baharu medium sebar ilmu, dakwah

APA yang penting, kandungan media baharu perlu diperhalusi dan pihak terlibat perlu bertanggungjawab dalam melaporkan informasi yang positif, sahih, seimbang serta menjaga sensitiviti agama, bangsa, kaum dan politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGGUNAAN media baharu secara berleluasa dengan memaparkan isu sensitiviti agama menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana pengaruh media boleh membentuk persepsi masyarakat. Situasi ini dapat dilihat seperti video yang memaparkan sisi negatif Islam secara ketara seperti yang dimuatnaik di YouTube iaitu filem Innocence of Muslim yang secara terang dan jelas menghina Rasulullah SAW. Begitu juga kontroversi filem Submission dan Fitna.

Ketiga-tiga filem ini adalah kesan daripada sikap prejudis dan prasangka negatif golongan anti-Islam. Di samping itu, terdapat beberapa insiden keganasan dunia yang berlaku di New York pada 11 September 2001 dan peristiwa pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 pula dikaitkan dengan terorisme yang menggemparkan seluruh dunia.

Ini diburukkan lagi dengan berlakunya penderaan anti-Muslim dalam talian pada laman Twitter. Ia boleh dikategorikan sebagai gangguan siber, penyalahgunaan dan kebencian siber.

Malah, ia berlaku juga di blog, bilik sembang dalam talian dan platform maya lain yang digunakan untuk mempromosikan kebencian siber dan Islamofobia. Selalunya ia dalam bentuk jenaka perkauman dan gurauan stereotaip.

Tambahan pula terdapat peningkatan jenayah kebencian kerana persepsi negatif identiti wanita yang berhijab di tempat kerja, institusi pendidikan dan kawasan rekreasi.

Rentetan daripada isu-isu tersebut, prinsip kebebasan beragama dan hak asasi manusia yang berlaku di luar negara turut berlaku di Malaysia yang menyebabkan timbulnya kecenderungan umat Islam mengemukakan pelbagai pandangan dan tafsiran peribadi terhadap sesuatu isu agama. Contohnya, tafsiran ayat al-Quran yang dikatakan mempunyai maksud berkaitan penularan wabak Covid-19. Ada pihak mengemukakan teori kononnya 3,333 jumlah jangkitan itu berkaitan dengan tafsiran ayat 33 pada surah ke-33 iaitu al-Ahzab sedangkan hakikatnya ayat tersebut memperihalkan akhlak para isteri Nabi SAW yang menunjukkan ketinggian status dan keunggulan yang boleh menjadi teladan kepada seluruh wanita Muslimah.

Apa yang penting, kandungan media baharu perlu diperhalusi dan pihak terlibat perlu bertanggungjawab dalam melaporkan informasi yang positif, sahih, seimbang serta menjaga sensitiviti agama, bangsa, kaum dan politik.

Jadikan media baharu sebagai medium untuk menyebarkan ilmu dan dakwah, meningkatkan kesedaran dalam masyarakat bahawa perpaduan itu penting bagi menjamin keharmonian negara, menyemai sikap hormat menghormati antara satu sama lain, memaparkan kasih sayang dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat berlainan kaum dan agama.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MONIKA@MUNIRAH ABD. RAZZAK
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya