SAUDARA PENGARANG,
IMPIAN Harimau Malaya untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2022 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada penyandang juara Thailand dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, baru-baru ini.
Setelah kemaraan pasukan bola sepak Malaysia dalam kejohanan itu menemui noktah, kita seharusnya melihat semula semua kelemahan yang ada dan cuba untuk memperbaikinya.
Saya mendapati Harimau Malaya tidak garang, tidak tangkas dan tidak licik apabila berhadapan dengan musuh seperti bertemu Thailand dalam separuh akhir pertama yang berkesudahan menang satu gol di gelanggang sendiri, baru-baru ini.
Sebagai peminat bola sepak, saya berpendapat skuad negara perlu mencontohi pasukan Maghribi yang dilihat bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 yang baru berakhir.
Mengambil sempena nama Harimau Malaya bermakna pasukan bola sepak kita seharusnya memiliki sifat berani seperti harimau untuk mencari dan mencipta peluang bagi membaham lawan apatah lagi bermain di tempat sendiri dan di hadapan peminat tempatan.
Saya yakin pemain pasukan Malaysia boleh berjaya di peringkat antarabangsa pada masa depan kerana mempunyai pemain muda tetapi ada beberapa sikap yang perlu diubah jika ingin setanding dengan pasukan Asia, Afrika dan Eropah.
Antaranya pemain dilihat kurang kreatif untuk mencipta peluang apabila menerima bola. Dapat dilihat pemain Malaysia kekurangan kemahiran individu seperti menggelecek untuk melepasi halangan beberapa pemain lawan. Mereka hanya membawa bola terus dan bertembung dengan pasukan lawan.
Sering kali lorongan untuk memberikan bola kepada pemain sendiri dapat dihidu dan dibaca seterusnya berjaya disekat oleh pihak lawan kerana pemain negara tidak menggunakan sepenuhnya kawasan padang untuk mencari ruang membawa bola ke gol lawan.
Selain itu, pemain negara tidak menghargai masa yang ada walaupun sudah mengetahui kelebihan satu gol itu amat berbahaya dan pihak lawan boleh membuat penyamaan atau mengatasi dengan beberapa gol pula.
Apa salahnya pemain negara berusaha dengan baki masa yang ada untuk berusaha mencipta peluang menjaringkan gol daripada menghabiskan masa dengan terbaring di atas padang dan membawa bola berpusing-pusing di kawasan sendiri.
Kadang-kadang kita dapat melihat pemain Jepun dan Eropah menggunakan masa bermain secara optimum dan keadaan ini sudah tentu membuahkan hasil walaupun mereka sudah ketinggalan, sama ada boleh menyamakan kedudukan atau mengatasi dengan jaringan gol yang besar pula.
Kurang menghargai masa terutama masa tambahan ini semestinya membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk merentap kealpaan pemain negara.
Selain itu, permainan secara timbal balik tidak memberikan keuntungan besar kepada pemain apabila berada di tempat lawan kerana tekanan penyokong lawan.
Sebab itu, jaringan perlu besar di tempat sendiri agar bekalan yang dibawa untuk bermain di tempat lawan lebih selesa.
Jika pemain Malaysia hanya bermain berbekalkan jaringan yang sekadar cukup makan dan berasakan sudah agak selamat maka percaturan sebegini akan memakan diri.
Akhir sekali, Harimau Malaya boleh pergi jauh dan bersaing dengan pasukan antarabangsa jika para pemain bermain bersungguh-sungguh, mempunyai keazaman untuk menang dan memiliki kreativiti dalam permainan bola sepak. – UTUSAN
HARIMAU KUMBANG, Temerloh, Pahang