Harap TikTok tidak jadi aplikasi pengintipan - Utusan Malaysia

Harap TikTok tidak jadi aplikasi pengintipan

PARA pengguna TikTok sendiri perlu lebih bertanggungjawab di dalam menggunakan aplikasi berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEDIA massa di peringkat global baru-baru ini melaporkan bahawa aplikasi media sosial dari China, TikTok telah melakukan pengintipan terhadap beberapa wartawan daripada portal berita BuzzFeed, Financial Times dan Forbes di Amerika Syarikat (AS).

Hal itu adalah rentetan terbaharu senarai panjang kegusaran kerajaan dan masyarakat di seluruh dunia berkenaan aplikasi video pendek berkenaan terutamanya dari aspek keselamatan data dan privasi para penggunanya.

Ia telah mendorong Senat AS untuk meluluskan rang undang-undang yang menghalang penggunaan aplikasi itu di dalam peranti milik kerajaan.

Di Malaysia juga, kegusaran berkenaan penggunaan TikTok semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan jumlah pengguna tempatan yang telah menghampiri 15 juta orang pada 2022.

Kebimbangan terbabit lebih tertumpu kepada penularan pelbagai bentuk naratif sempit dan maklumat salah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, sehingga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa mengeluarkan amaran supaya penggunanya tidak memuat naik sebarang kemas kini berunsur agama dan perkauman.

Terdapat juga pelbagai golongan yang menggesa kerajaan untuk mengetatkan kawal selia terhadap aplikasi berkenaan.

Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu mula menghalusi cara terbaik bagi mengawal selia aplikasi itu termasuk mewajibkan pihak ByteDance, pemilik TikTok untuk mewujudkan beberapa garis panduan khusus bagi para pengguna aplikasi itu di Malaysia, sebagai salah satu syarat bagi membolehkan ia terus beroperasi di negara ini.

Sebagai contoh, pihak ByteDance boleh menyelitkan pesanan khidmat masyarakat berkenaan penggunaan TikTok secara beretika di sela-sela video yang ditonton menerusi aplikasi terbabit. Pesanan itu boleh dilakukan secara menarik dan interaktif oleh para pempengaruh media sosial di Malaysia.

Ia juga perlu menggunakan konsep sebuah iklan komersial, yang tidak boleh dilangkau oleh para pengguna TikTok sebelum mereka menonton video-video lain di platform itu.

Selain itu, para moderator kandungan TikTok yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat tempatan perlu diingatkan agar lebih peka dengan penyebaran kandungan bersifat sensitif di aplikasi itu.

Mereka perlulah bersikap proaktif dan mengambil tindakan segera, tanpa perlu menunggu sebarang gesaan atau laporan daripada mana-mana pihak.

Mereka juga boleh diberikan akses untuk menambah label-label amaran dan konteks-konteks yang berkaitan kepada video-video pendek yang telah disunting terlebih dahulu bagi memenuhi naratif-naratif tertentu sebelum ia disiarkan kepada umum.

Namun yang lebih penting lagi, para pengguna TikTok sendiri perlu lebih bertanggungjawab di dalam menggunakan aplikasi itu. Janganlah terlalu ghairah mengejar ketularan, jumlah tontonan dan tanda suka sehingga mengesampingkan kebenaran dan tanggungjawab di dalam muat naik mereka ke dalam platform itu.

Dalam pada itu, mengawal selia bukan bermaksud menghalang kebebasan bersuara. Tetapi adalah sebagai suatu penegasan bahawa kebebasan bersuara perlu disertakan dengan rasa tanggungjawab dan bukan sekadar sebuah tindakan yang bersifat melempar batu, sembunyi tangan. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya