Elok berundur jika kalah enam PRN - Utusan Malaysia

Elok berundur jika kalah enam PRN

KEPIMPINAN Perikatan Nasional (PN) yang sedia ada perlu berundur jika gabungan itu kalah pada enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ENAM pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat merupakan penanda aras yang terbaik bagi mengukur kekuatan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti Melayu Islam yang dominan.

Beberapa bentuk analisis boleh dibuat melalui PRN terbabit jika sokongan rakyat terhadap gabungan PN semakin menurun.

Antaranya, kepimpinan PN yang sedia ada perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan dan perlu berundur dengan cara terhormat bagi memberi ruang kepada pemimpin baharu yang lebih baik.

Kepimpinan lama perlu diganti dan bersedia memberi laluan kepada pelapis kepimpinan baharu untuk membawa naratif baharu politik negara dengan pendekatan baharu. Ini akan membolehkan PN menyusun strategi lebih segar dan berwibawa.

Negara memerlukan barisan kepimpinan baharu sebagai semak dan imbang serta merdeka daripada naratif yang buruk dan lapuk.

Dalam pada itu, kekalahan mana-mana gabungan parti dalam pilihan raya selalunya dikaitkan berpunca daripada ketidaksefahaman dalaman yang sukar diselesaikan dengan kaedah terbaik kerana masing-masing mempunyai perbezaan pandangan yang ketara.

Justeru, bagi menamatkan ketidaksefahaman yang berlaku maka calon yang menang dalam PRN perlu diberi peluang untuk mengemudi PN dan merungkai semua isu dalaman parti dengan lebih berkesan.

Namun, usaha itu memerlukan kemenangan yang besar dalam PRN bagi enam negeri dan tidak boleh dibuat jika semua calon PN kalah.

Apa sahaja penambahbaikan yang dibuat oleh PN, satu syarat yang harus dipatuhi adalah dasar dan prinsip asas gabungan parti perlu dipertahankan. Pada masa sama, perlu dibuka ruang kerjasama dengan bukan Melayu.

Kepimpinan baharu juga perlu bersedia dengan idea lebih tersusun dengan mempamerkan keterampilan sikap yang jitu dan memiliki reputasi baik serta dilihat berpotensi memenangi hati pengundi. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.