Bina lebih banyak sungai buatan - Utusan Malaysia

Bina lebih banyak sungai buatan

MEREDAH air banjir adalah pengalaman biasa bagi penduduk yang menetap di Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan untuk meneruskan projek tebatan banjir negeri Kelantan iaitu projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dan PLSB Sungai Kelantan yang mempunyai beberapa fasa.

Beberapa fasa awal projek terbabit telah dilaksanakan. Bagaimanapun, yang belum dimulakan membabitkan PLSB Sungai Kelantan Fasa Dua yang merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak di Kuala Besar.

Selain itu, ia merangkumi projek lencongan banjir Sungai Kelantan melalui Sungai Seribong bagi melindungi banjir besar yang menimpa bandar Kota Bharu.

Bagi PLSB Sungai Golok Fasa Tiga yang belum dimulakan pula penting bagi mengelak kawasan Bukit Bunga dan Air Lanas di Jeli mengalami banjir akibat limpahan Sungai Golok.

Malah, seluruh Rantau Panjang dan Bandar Baru Pasir Mas akan mengalami banjir yang lebih serius akibat dari ketiadaan sambungan struktur- struktur yang sepatutnya dibina seiring dengan pembinaan struktur lain di PLSB Sungai Golok Fasa Satu dan Dua yang sedang berjalan.

Berikutan projek tebatan banjir itu belum siap sepenuhnya, kita dapat memahami kenapa hujan lebat secara ekstrem yang turun lebih dari 24 jam mulai 17 Disember lalu menyebabkan banjir besar di Kelantan pada musim tengkujuh tahun ini. Air banjir yang agak jernih berbanding kebiasaan menunjukkan tahap intensiti tinggi hujan yang turun di kawasan hilir.

Bangkok

Beberapa kawasan yang sebelum ini tidak dinaiki air turut banjir apatah lagi kawasan yang selalu banjir saban tahun terutama di sekitar jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang yang menerima kesan langsung daripada limpahan air Sungai Golok.

Di beberapa kawasan di Kelantan misalnya di Kota Bharu, air banjir didapati surut terlalu perlahan walaupun hujan agak reda sedikit pada tengah hari 19 Disember lalu.

Perkara itu mungkin disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna terutama di kawasan taman perumahan dan kampung yang boleh mengalirkan air ke parit utama dan seterusnya ke sungai.

Di Tumpat pula, air banjir lambat surut disebabkan faktor limpahan air Sungai Golok. Banyak tempat lain mengalami situasi banjir termenung seperti ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sendiri ada mengulas mengenai isu perparitan yang kurang terurus di negeri itu yang menyebabkan banjir kali ini agak luar biasa.

Bagaimanapun, pada 28 Disember lalu, banjir yang melanda Kelantan lebih seminggu pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara rasminya.

Dalam pada itu, saya tertarik dengan idea yang dilontarkan pelbagai pihak dalam media sosial termasuk cadangan agar sungai buatan dibina di Kelantan bagi mengalirkan limpahan air banjir terus ke laut menggunakan kaedah sama yang digunakan bagi mengatasi banjir di Bangkok dan Jakarta.

Terusan yang lurus mampu mengalirkan air dengan cepat berbanding sungai semula jadi yang berliku dan semakin cetek.

Selain memperbaiki sistem perparitan dan mengkaji cadangan untuk membina sungai buatan, Kerajaan Persekutuan diharap membina lebih banyak kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi di Kelantan sebagai tebatan banjir serta mampu menyimpan bekalan air bersih. – UTUSAN

M. FAISAL, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya