Banyak ‘A’ bukan cerminan pelajar cerdik, pintar

Banyak ‘A’ bukan cerminan pelajar cerdik, pintar

Sistem pendidikan negara tidak perlu dirombak tapi perlu ditambah baik . - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEDANG Singapura dan China sibuk menginsankan sistem pentaksiran dan penilaian di sekolah, di Malaysia sebaliknya pula. Ramai ibu bapa mendesak dikembalikan peperiksaan taruhan tinggi, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Jelas masih ramai ingin memusatkan pendidikan kepada sistem peperiksaan kebangsaan atas alasan murid lebih bermotivasi dan cenderung untuk belajar.

Kajian luas berkaitan motivasi dan kesan peperiksaan taruhan tinggi di beberapa negara maju dan membangun, memaparkan dapatan yang jelas bahawa tahap tekanan dan keresahan murid adalah tinggi dan memberi kesan negatif jangka pendek serta panjang, bergantung kepada tahap ketahanan diri seseorang pelajar.

Kesan ini menjadi lebih teruk dengan tekanan ibu bapa yang inginkan anak mencapai keputusan cemerlang dan amalan membandingkan keputusan dengan murid lain.

Sedangkan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) memberikan lebih manfaat dan menggalakkan komunikasi serta hubungan erat antara guru-murid-ibu bapa/ penjaga dalam memahami dan mengikuti perkembangan pembelajaran murid.

Melalui PBS, pentaksiran dan penilaian dalam bilik darjah (PBD) dapat dilaksanakan secara berterusan sama ada melalui kuiz, ujian berterusan, ujian akhir tahun, ujian alternatif dan sebagainya. Dengan kaedah pelbagai ini, ia membolehkan guru menilai secara menyeluruh atau holistik. Proses berterusan ini juga membolehkan guru lebih memahami keperluan pembelajaran murid.

Menyedari kebaikan PBS yang menggabungkan konsep pentaksiran formatif dan sumatif, Kementerian Pendidikan mengambil langkah ke depan dengan melaksanakan sistem tersebut di sekolah rendah pada 2011 dan di sekolah menengah pada 2012 sebagai salah satu agenda Program Transformasi Pendidikan.

Disebabkan amalan belajar dan hafal dalam sistem peperiksaan taruhan tinggi, ramai murid tidak mampu mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh apatah lagi dalam mengekalkan kelestariannya.

Ia menanam budaya belajar kerana peperiksaan. Oleh demikian, lahirlah budaya serapan maklumat dan menjawab mengikut skema.

Amalan ini bercanggah dengan ideologi globalisasi pendidikan dan matlamat mencapai kebolehan berfikir aras tinggi. Perlu diingatkan, bilangan ‘A’ yang banyak bukan cerminan kecerdikan atau kepintaran
seseorang. Apa yang perlu diterapkan adalah belajar, diikuti memahami ilmu yang dipelajari serta boleh mengaplikasikannya mengikut situasi.

Jika ibu bapa benar-benar ingin memantau perkembangan pembelajaran anak-anak, PBS dan PBD merupakan pendekatan yang lebih baik kerana ia dilaksanakan secara berterusan.

Perubahan yang ingin dibawa ini memerlukan anjakan minda dan perubahan amalan dan keperluan untuk keluar dari budaya pentaksiran berpusatkan peperiksaan dan ini merupakan cabaran utama yang memerlukan masa dan keterbukaan minda dalam penerimaan perubahan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ZUWATI HASIM
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN