Tidak perlu naik OPR secara agresif - Utusan Malaysia

Tidak perlu naik OPR secara agresif

KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin akan memberi kesan negatif kepada permintaan untuk membeli kereta. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI penganalisis ekonomi meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga 3.25 peratus pada Mac tahun depan.

Mungkin kenaikan OPR ini bertujuan merapatkan jurang antara kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan di Malaysia bagi menarik lagi dana pelaburan ke negara ini.

Ada pendapat mengatakan kenaikan OPR ini adalah satu proses normalisasi kadar faedah yang telah jatuh kerana masalah ekonomi pada masa lepas.

Ada pula pendapat mengatakan kita tidak perlu menaikkan kadar faedah ini secara agresif kerana kenaikan OPR tidak dapat membanteras inflasi.

Kenaikan OPR akan meningkatkan lagi kos pengeluaran yang bakal diterjemahkan dalam kenaikan harga-harga pengguna atau inflasi.

Bagi pengusaha seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang banyak menghadapi masalah aliran tunai akan menghadapi kesukaran membayar balik ansuran hutang ini.

Mungkin juga PMKS ini menghadapi masalah aliran tunai kerana pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid-19 yang tidak sekata.

Kenaikan OPR ini juga dikatakan akan meningkatkan lagi beban hutang pengguna kerana mereka terpaksa membayar balik pinjaman dengan harga atau kadar faedah lebih tinggi daripada sebelumnya.

Kenaikan OPR ini juga mungkin akan memberi kesan negatif kepada permintaan untuk membeli rumah atau kereta, sekali gus memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Malaysia tidak perlu menaikkan kadar faedahnya secara agresif kerana OPR AS tidak akan dinaikkan secara agresif seperti dahulu. Ini kerana ekonomi AS dijangka meleset pada 2023 akibat kadar faedah yang tinggi. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya