fbpx

Rayuan lanjut pembayaran rumah ditolak LPPSA

PENULIS terpaksa membuat rayuan untuk melanjutkan pembayaran ansuran rumah kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akibat faktor kesihatan.-GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

KEHIDUPAN saya semakin terhimpit selepas syarikat mengarahkan mengambil cuti tanpa gaji sementara menunggu kelulusan pertukaran tempat kerja dari seorang pemandu lori kepada penjaga stor.

Gaji pokok yang diterima sebagai pemandu lori turut terjejas ekoran majikan enggan membayar gaji, sebaliknya menawarkan gaji sebagai penjaga stor sedangkan saya telah berkhidmat di syarikat ini selama empat tahun.

Semua ini berlaku setelah saya mengalami kemalangan jalan raya ketika membuat penghantaran barang.

Kejadian ini berlaku setahun lalu dan kecederaan bahu dialami sering menyebabkan kesakitan dan membengkak sehingga menjejaskan kerja serta aktiviti harian. Saya masih menerima rawatan pakar di hospital kerajaan sehingga hari ini.

Saya bingung setelah diberi cuti tanpa gaji oleh syarikat memandangkan masih perlu membayar pelbagai komitmen.

Kini rumah yang dibeli semasa bekerja dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 18 tahun hampir dilelong kerana ketidakmampuan membayar ansuran setelah tamat perkhidmatan dahulu dan kesukaran mendapatkan pekerjaan dengan pengalaman yang saya ada ketika berkhidmat.

Saya pernah membuat rayuan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), namun hanya dapat melanjutkan tempoh pembayaran rumah selama setahun dengan ansuran bulanan sebanyak RM1,000 dan pada Disember ini, perlu menjelaskan segala baki yang ada.

Pada mulanya saya bayar mengikut perjanjian yang telah dipersetujui, namun setelah mengalami kemalangan segalanya berubah kerana kerap mengambil cuti sakit.

Pelbagai usaha dilakukan seperti mengirim surat ke beberapa kementerian termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran, namun sehingga kini masih tiada jawapan.

Rumah yang saya diami akan dilelong sekiranya gagal melunaskan baki hutang.

Di mana saya dan keluarga hendak tinggal dengan keadaan ekonomi keluarga seperti sekarang? Saya berharap ada pihak sudi membantu menyelesaikan kemelut dan masalah yang sedang saya hadapi.-UTUSAN

INSAN BINGUNG
Port Dickson

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN