fbpx

Rakyat terbeban, tak perlu naik OPR

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 6 Disember 2022.

SAUDARA PENGARANG,

PANDANGAN bekas pensyarah ekonomi, Nasaruddin Arshad dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia bertajuk Tidak perlu naik Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara agresif pada 6 Disember lalu amat tepat memandangkan rakyat terutama pemilik kediaman dan perniagaan begitu terkesan dengan kadar kenaikan OPR.

Apabila ramai penganalisis ekonomi meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menaikkan OPR sehingga 3.25 peratus pada Mac tahun depan walaupun bertujuan merapatkan jurang antara kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan di Malaysia bagi menarik lagi dana pelaburan ke negara ini, ia begitu merungsingkan rakyat.

Kenaikan OPR ini juga dikatakan akan meningkatkan lagi beban hutang pengguna kerana mereka terpaksa membayar balik pinjaman dengan harga atau kadar faedah lebih tinggi daripada sebelumnya.

Rakyat terpaksa membayar balik pembiayaan kediaman pada kadar di luar kemampuan mereka. Ada sudah merancang untuk menjual aset tersebut kerana tidak mampu menanggung kenaikan OPR. Rakyat menjadi semakin miskin disebabkan tekanan ekonomi negara dan dunia.

Sudah empat kali OPR naik tahun ini dan jika ia terus naik, jujurnya ramai tidak mampu lagi. Ini kerana pembiayaan semula rumah bukanlah satu-satunya komitmen perlu ditanggung. Kami perlu bayar ansuran bulanan kereta, bil wi-fi , yuran bulanan persekolahan anak yang dinaikkan tahun hadapan, yuran pengasuh, membeli barangan asas dan sebagainya yang serba-serbi mahal.

Bebanan ini tidak selari dengan kadar kenaikan gaji kami.

Justeru, saya bersetuju dengan pandangan Nasaruddin agar Malaysia tidak menaikkan kadar faedahnya secara agresif kerana OPR AS tidak akan dinaikkan secara agresif seperti dahulu. Ini kerana ekonomi AS dijangka meleset pada 2023 akibat kadar faedah yang tinggi.

Sepatutnya kerajaan perlu menjadi pemudah cara dalam meringankan bebanan rakyat memandangkan masih ramai yang masih belum pulih sepenuhnya selepas pandemik dan bencana alam.-UTUSAN

AHMAD ZAKI
Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN