Masih ada dua minggu lepasi 20 peratus bayar zakat - Utusan Malaysia

Masih ada dua minggu lepasi 20 peratus bayar zakat

TERDAPAT pelbagai saluran dan platform untuk membayar zakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JABATAN Perangkaan Malaysia merekodkan Selangor mempunyai komposisi penduduk tertinggi di negara ini pada 2020. Seramai 1.5 juta daripada 3.9 juta penduduk bumiputera di negeri itu juga layak membayar zakat.

Malangnya, hanya 20 peratus daripada jumlah tersebut atau lebih tepat seramai 346,000 pembayar zakat yang direkodkan oleh Lembaga Zakat Selangor.

Jumlah pembayar zakat yang sedikit secara tidak langsung menjejaskan proses agihan dana kepada asnaf di Selangor yang kos sara hidup di negeri itu lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Memandangkan kita berada dalam bulan terakhir pada tahun ini, adalah lebih baik jika individu layak membayarnya sama ada zakat pendapatan mahupun zakat harta atau zakat lain menunaikannya dengan segera.

Terdapat pelbagai saluran dan platform pembayaran disediakan oleh agensi mengurus zakat. Antaranya, bayaran zakat boleh dibuat melalui potongan gaji bulanan yang disediakan oleh majikan untuk dibayar terus kepada pihak berwajib.

Menerusi kaedah ini, pembayar zakat tidak perlu menanti setiap hujung bulan mahupun hujung tahun untuk membayar zakat.

Pembayaran zakat ini penting dalam memastikan kita melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT selaras dengan prinsip maqasid syariah (tujuan sesuatu hukum Islam) yang menuntut kita semua menjaga agama.

Selain itu, kita juga dituntut untuk menjaga nyawa manusia dengan menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan menjamin keadilan sosioekonomi dalam masyarakat.

Janganlah kita hanya menanti dan berharap agar kerajaan membantu golongan yang memerlukan.

Kita juga mampu membantu golongan miskin dengan membayar zakat. Ingatlah, tangan memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya