Bimbang Covid-19 kembali merebak ketika cuti sekolah - Utusan Malaysia

Bimbang Covid-19 kembali merebak ketika cuti sekolah

AMALKAN pemakaian pelitup muka ketika mengunjungi kawasan peranginan pada musim cuti sekolah. – GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CUTI persekolahan akhir tahun sudah bermula. Sudah tentu pelbagai perancangan dan jadual siap disusun atur untuk mengisi musim percutian tersebut.

Ramai dalam kalangan ibu bapa mengatur jadual untuk membawa anak-anak mereka melawat sesuatu tempat yang menjadi pilihan. Ada yang mahu membawa keluarga ke pantai, pinggir hutan, sawah, bandar dan tempat-tempat rekreasi.

Kebanyakan mereka memandu kenderaan sendiri untuk memenuhi harapan ahli keluarga bagi mengisi jadual ditetapkan sepanjang musim percutian tersebut.

Namun, bagi yang mempunyai ramai ahli keluarga, mereka terpaksa menyewa van bagi membolehkan semua orang menyertainya dan dapat bercuti bersama-sama. Sekiranya destinasi percutian melibatkan kawasan pantai atau rekreasi, perkampungan atau dusun buah-buahan, mereka akan menyewa inap desa sebagai tempat penginapan.

Bagi yang ingin mengisi waktu percutian di bandar-bandar pula, sudah tentu mereka akan menyewa bilik hotel untuk beberapa hari yang ditetapkan. Setelah sekian lama tidak dapat melaksanakan aktiviti sedemikian akibat ancaman Covid-19, kini rakyat Malaysia seperti mahu melepaskan kerinduan.

Hal ini ketara sekali apabila banyak inap desa dan bilik hotel habis ditempah. Para pemilik inap desa dan hotel harus bersyukur kerana perniagaan mereka rancak semula setelah sekian lama menempuh keadaan yang amat pudar akibat ancaman Covid-19.

Dalam pada itu, semua pihak harus berwaspada dalam segala aspek sepanjang mengisi musim percutian dengan pelbagai aktiviti.

Ancaman

Bagi mereka yang memandu kereta, sama ada kenderaan sendiri atau yang disewa, hendaklah sentiasa berhati-hati sepanjang masa berada di atas jalan raya.

Dengan bilangan kenderaan yang meningkat secara ketara, pelbagai perkara boleh berlaku jika kurang berhati-hati. Patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya semuanya selamat.

Sementara itu, penjagaan kesihatan juga perlu diberi perhatian. Walaupun ancaman Covid-19 semakin terkawal tetapi ia tidak hilang sepenuhnya.

Setiap hari kita lihat semua negeri dan wilayah di negara ini, ada sahaja kes baharu sama ada sedikit atau banyak, berkurangan atau bertambah. Apa yang saya lihat, orang ramai semakin mengabaikan pemakaian pelitup muka.

Malah, ada yang membawa bayi tanpa rasa bimbang untuk berada di tempat orang ramai banyak berkunjung. Kebanyakan yang masuk atau makan di restoran atau gerai selamba sahaja tidak memakai pelitup muka yang boleh menjadi perisai bagi mencegah jangkitan penyakit tersebut.

Sementara itu, para pemilik kedai makan atau restoran juga harus memainkan peranan dan sentiasa berwaspada semasa menerima kedatangan ramai pelanggan.

Di samping makanan atau minuman yang dijual tidak diletakkan harga terlalu mahal, kebersihan juga perlu diberi keutamaan termasuk di ruang makan, tempat mempamerkan makanan dan minuman serta tandas.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat apabila berakhir musim cuti sekolah nanti, jumlah kes Covid-19 semakin meningkat di negara ini. Jangan biarkan kegembiraan bercuti berakhir dengan kedukaan. Semoga semuanya dilindungi oleh Allah SWT. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.