fbpx

Aliran trafik KTM Butterworth amat teruk

PIHAK Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth, Pulau Pinang diminta menyelesaikan segera masalah kesesakan akibat parking di bahu jalan.– SUMBER INTERNET

SAUDARA PENGARANG,

PERKHIDMATAN tren elektrik (ETS) dan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sememangnya menjadi pilihan utama orang ramai berbanding pengangkutan lain seperti bas ekspres.

Saya adalah salah seorang pengguna tetap perkhidmatan ETS ke Kuala Lumpur. Dalam pada itu, baru-baru ini saya terdengar rungutan orang awam berhubung aliran trafik di stesen KTM Butterworth. Ini ekoran pihak KTM tidak mengurus aliran trafik dengan baik dan hampir-hampir sahaja berlakunya perang mulut kerana masalah laluan kenderaan terhalang.

Namun apa yang cukup kami kesalkan ialah pihak KTM langsung tidak membuat sebarang pemantauan terhadap pengguna kenderaan yang meletakkan kenderaan di bahu jalan. Sudahlah laluan masuk ke stesen KTM Butterworth terlalu sempit yang hanya muat-muat satu kereta.

Dalam hal ini pengguna kenderaan tidak boleh disalahkan kerana mereka juga tiada pilihan lain selain terpaksa meletakan kenderaan di bahu jalan memandangkan ruang parking yang disediakan tidak banyak.

Oleh sebab itu pihak KTM Butterworth harus mencari solusi terbaik untuk menangani masalah yang sekian lama dibiarkan tanpa tiada sebarang tindakan susulan untuk menyelesaikannya. Beginikah cara KTM menghargai mereka yang menjadi pelanggan tetap pengangkutan ETS dan Komuter?

Kami juga agak terkejut mengapakah masalah yang melibatkan laluan sama ada untuk menurunkan penumpang atau menunggu sehingga kini tidak dapat diatasi malah keadaan menjadi lebih teruk apabila pihak KTM meletakan pula kon-kon di tempat yang tidak sepatutnya.

Justeru kami mewakili pengguna tetap perkhidmatan ETS dan Komuter sangat berharap masalah tersebut dapat diatasi secepat mungkin. Jika boleh disediakan alternatif tempat khas ruang untuk menunggu penumpang bagi setiap kenderaan supaya aliran trafik keluar atau masuk ke stesen KTM Butterworth menjadi lancar dan tiada sebarang masalah.-UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT
Bayan Mutiara, Pulau Pinang

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN