fbpx

Terima hakikat kerja diambil alih robot

GARY Kasparov kalah ketika berlawan catur dengan superkomputer bernama Deep Blue pada 1997. – AFP

SAUDARA PENGARANG,

PADA 1996, telah diadakan perlawanan catur antara superkomputer keluaran IBM bernama Deep Blue dan juara dunia dari Russia, Gary Kasparov.

Perlawanan bersejarah itu telah dimenangi oleh Kasparov dengan keputusan empat berbalas dua. Para peminat berasa lega kerana manusia terbukti lebih pintar daripada komputer.

Pada tahun berikutnya perlawanan telah diadakan sekali lagi, namun pada kali ini Deep Blue pula menang dengan keputusan 3.5 berbalas 2.5. Ramai menjadi gempar dan bimbang. Kekalahan Kasparov pada perlawanan ulangan itu dilihat sebagai kekalahan pertama manusia kepada komputer.

Adakah ini menandakan apa yang digambarkan dalam filem-filem fiksyen sains Hollywood akan menjadi realiti iaitu komputer menjadi lebih bijak dan memerintah manusia pula?

Pelbagai pihak memberikan pandangan terhadap punca kekalahan. Kasparov sendiri percaya ada pemain catur hebat lain yang membuat gerakan bagi Deep Blue. Kasparov tidak percaya superkomputer itu mampu membuat gerakan mengelirukan sehingga memaksa beliau mengaku kalah.

Ada pihak lain pula yang mendakwa terdapat pepijat dalam program Deep Blue yang menyebabkannya mampu membuat gerakan luar jangkaan. Bagaimanapun, ramai bersetuju dengan salah satu pendapat bahawa kekalahan itu disebabkan manusia dipengaruhi emosi yang mengakibatkan pertimbangan dan pemikiran menjadi tidak wajar apabila berada di bawah tekanan.

Atur cara program Deep Blue ini ditulis berasaskan daripada sistem pakar yang merupakan satu cabang bidang kepintaran buatan (AI). Ia bermodelkan pengetahuan manusia yang dianggap pakar dalam bidang tersebut melalui susunan peraturan-peraturan secara berstruktur.

Sebagai contoh, untuk sebuah sistem ramalan cuaca, peraturan yang disediakan dalam atur cara ialah jika hari mendung dan angin bertiup laju, maka hari akan hujan. Namun, tidak semua pengetahuan dapat diadaptasi dengan baik. Hal ini disebabkan skop sesuatu pengetahuan itu sangat besar dan mengandungi pelbagai pemboleh ubah sehingga menjadi mustahil untuk dirangkumkan bersama.

Oleh itu, sistem pakar ini lebih sesuai digunakan untuk penyelesaian yang bersifat pengulangan dan melibatkan semua pengetahuan yang diperlukan bagi membuat keputusan seperti sistem kelulusan pinjaman bank, analisis bahan kimia dan sistem pengesanan awal kanser.

Dalam pada itu, Majalah Fortune meramalkan robot akan mengambil alih 40 peratus daripada pekerjaan manusia dalam masa 15 tahun akan datang.

Oleh itu, siapa pun yang memerintah Malaysia perlu membuat persediaan agar jumlah penganggur di negara ini tidak meningkat. Pekerjaan seperti eksekutif pelanggan telah mula diambil alih oleh chatbot yang dapat melayan pertanyaan daripada pelanggan dengan baik.

Walaupun komputer dilihat telah beroperasi untuk menjadi lebih ‘bijak’ daripada manusia, hal ini masih jauh daripada jangkauan. Oleh itu, kebimbangan semua pekerjaan akan diambil alih oleh robot dan komputer adalah tidak benar.

Memang benar komputer mempunyai kelebihan dalam kelajuan, namun untuk dikatakan lebih bijak daripada manusia bukanlah satu perbandingan yang betul.

Komputer tetap sebuah komputer berbanding manusia yang mempunyai sifat-sifat tersendiri yang tidak mungkin dapat ‘dipelajari’ oleh sebuah mesin.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. HAIRULNIZAM MAHDIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN