fbpx

Selenggara segera jalan Jerantut ke Kuala Tembeling

TUMPAHAN simen boleh menyebabkan kemalangan ekoran struktur jalan raya yang keras. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah selesai pada 19 November lalu. Pemilihan wakil rakyat telah dijalankan oleh pengundi yang layak. Sekarang sudah tiba masanya wakil rakyat yang dipilih menunaikan janji manis semasa berkempen dalam pilihan raya yang lalu.

Sebagai pengguna yang berulang-alik setiap hari menggunakan jalan raya Jerantut ke Kuala Lipis melalui Kuala Tembeling, saya ingin memberikan cadangan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera membaiki keadaan jalan menaiki Bukit Atap dan Bukit Timun.

Ini kerana sudah banyak kali kejadian kemalangan berlaku di kedua-dua kawasan itu ekoran tumpahan simen yang keras sehingga menyebabkan jalan berbahaya.

Tumpahan simen bukanlah kes terpencil. Sudah terlalu banyak jalan yang pada asalnya elok, jadi rosak dan membahayakan pengguna jalan raya lain hanya kerana sikap acuh tidak acuh pihak tertentu.

Simen itu tidak memerlukan masa yang lama untuk mengeras dan membuangnya boleh kata mustahil. Cara paling mudah mungkin menurapnya dengan tar lain, kemudian tumpahan simen berlaku lagi.

Jadi, ia bukan hanya sekadar menambah baik jalan sebaliknya pemandu dan syarikat pengendali lori simen juga wajar dikenakan tindakan. Ini kerana selagi tiada tindakan tegas diambil, mereka akan lepas tangan dan masalah jalan yang dicemari tumpahan simen tidak berpenghujung.

Selain itu, struktur jalan yang sempit dan bukit tinggi menyebabkan kenderaan banyak yang terundur dan terbalik. Jambatan di kaki Bukit Atap juga sempit dan rendah menyebabkan kenderaan selalu tenggelam apabila berlaku banjir. Diharapkan wakil rakyat yang baharu dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera. – UTUSAN

ORANG KAMPUNG
Pahang

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN