Perlu mendalami sejarah Islam yang muktabar

Perlu mendalami sejarah Islam yang muktabar

PERBEZAAN tarikh dalam lipatan sejarah Islam adalah disebabkan sistem kalendar yang pelbagai.-GAMBAR INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUMBER Sejarah Islam yang muktabar dan boleh dirujuk oleh seluruh umat Islam adalah al-Quran dan hadis. Kedua-duanya merupakan sumber utama dan primer.

Buku-buku sirah nabi kedua-dua sumber ini mencatatkan pelbagai peristiwa berkaitan kehidupan baginda SAW dan turut menceritakan gambaran rupa paras Nabi Muhammad SAW berdasarkan deskripsi keluarga dan para sahabat.

Berdasarkan hadis sahih riwayat Imam al- Bukhari, umur Rasulullah SAW ketika wafat adalah 60 tahun sedangkan buku-buku yang berada di tangan kita menyebut berumur 63 tahun. Bagaimana perbezaan ini boleh timbul? Malah ada bertanya, yang mana satu lebih tepat? Jika masyarakat menguasai ilmu falak, mereka lebih mudah faham faktor perbezaan umur tersebut. Begitu juga perbezaan tarikh berlaku sesuatu peristiwa dalam sejarah Islam.

Perbezaan ini berpunca daripada sistem catatan tarikh yang menyukarkan para sejarawan mencatat tarikh sama. Sebagai contoh, umat Islam menyebut Tahun Gajah sebelum kalendar hijrah disusun berdasarkan sistem pergerakan bulan. Ia berlainan dengan sistem kalendar Masihi yang dikira berasaskan pergerakan bumi mengelilingi matahari.

Terdapat banyak sistem kalendar lain yang dipengaruhi kemahiran astronomi sesuatu tamadun seperti Melayu, Jepun, Cina dan India. Justeru, tidak hairan jika timbul pelbagai tarikh dicatat untuk sesuatu peristiwa yang sama.

Apa yang penting kita faham adalah sifat sejarah yang in situ tidak boleh dipindahkan masa atau lokasi kepada masa hari ini dan lokasi pada hari ini. Ia tidak akan pernah sama dan tepat. Malah, hari ini kita turut menyaksikan 1 Syawal tahun Hijrah di Malaysia tidak sama dengan beberapa negara lain walaupun berada di garisan khatulistiwa yang sama. Sistem kalendar dan tarikh yang diterima pakai oleh sesebuah kerajaan akan digunakan dalam urusan kehidupan seharian.

Masyarakat Islam perlu sedar dan memahami kepentingan ilmu sejarah Islam.

Ia bukan sekadar ilmu yang mati tetapi hidup dan membentuk pemikiran serta kefahaman masyarakat pada hari ini. Kecelaruan sumber sejarah Islam dalam kalangan umat Islam telah menghakis jati diri mereka sebagai pewaris umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada zaman keagungan Islam.

Umat Islam patut bangga menjadi seorang Muslim dan meneruskan legasi kecemerlangan tersebut dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya.-UTUSAN

DR. AIZAN ALI @ MAT ZIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya