Pengurusan logistik menyeluruh tangani banjir - Utusan Malaysia

Pengurusan logistik menyeluruh tangani banjir

DI kawasan berisiko banjir, SPR perlu mengenal pasti lebih awal premis tambahan yang boleh digunakan bagi memastikan wujud pemisahan antara pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat mengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI diketahui umum, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai tarikh keramat hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kali terakhir negara mengadakan PRU pada tempoh penghujung tahun adalah PRU10, iaitu 29 November 1999, lebih 20 tahun lalu. Umum mengetahui, negara mengalami Monsun Timur Laut bermula Oktober hingga Mac setiap tahun.

Bagi tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

Antara langkah persediaan yang boleh dibuat SPR adalah melaksanakan pengurusan logistik menyeluruh andai kata ada kawasan tertentu dilanda banjir ketika tarikh mengundi kelak. Sudah pasti ada yang kecewa sekiranya tercicir dalam menunaikan tanggungjawab disebabkan bencana banjir.

Pengurusan logistik menyeluruh merangkumi pengurusan keperluan sumber ­ fizikal, pengurusan maklumat dan pengurusan keselamatan peralatan. Pengurusan logistik keperluan sumber  fizikal menjurus kepada pengurusan premis fasiliti, yakni pusat mengundi dan pengiraan undi serta pengurusan sumber manusia.

Sudah kebiasaan dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini, bangunan sekolah dan dewan komuniti setempat dijadikan pusat mengundi dan pengiraan undi.

Namun harus diingatkan, premis-premis ini juga selalunya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) andai kata banjir melanda. Justeru, bagi lokasi berisiko tinggi terjadinya banjir, sudah pasti ada keperluan mengenal pasti lebih awal premis tambahan sebagai pelan sandaran bagi memastikan keperluan pusat mengundi dan PPS dapat diasingkan.

Nadma

Dari aspek pengurusan sumber manusia pula, ia bukan sahaja tertumpu kepada petugas di pusat mengundi, tetapi juga menguruskan golongan pengundi yang terjejas akibat terputus hubungan dan akses akibat banjir.

Mereka yang terjejas sudah pasti mahu juga menunaikan tanggungjawab memilih mereka yang hanya hadir sekali setiap lima tahun. SPR disarankan bekerjasama rapat dengan pihak yang terlibat secara langsung dalam menangani ancaman banjir seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini bagi memastikan pengurusan sumber manusia (pengundi dan petugas) diuruskan secara sistematik jika PRU dan banjir berlaku secara serentak. Sebagai contoh, menyedia dan mengatur pengangkutan bersesuaian kepada mereka yang terputus akses seperti perkhidmatan bot mahupun bas dari PPS ke pusat mengundi berdekatan.

Pengurusan maklumat di tempat yang terjejas dengan bencana banjir amat kritikal. Bukan sahaja dalam mengenal pasti jumlah dan lokasi mereka yang terkesan, bahkan memudahkan tadbir urus berkait kelancaran proses mengundi.

Ini termasuk mengenal pasti lokaliti daerah mengundi, pusat mengundi dan saluran mengundi sepatutnya mengikut senarai daftar pengundi yang diwartakan.

Pengurusan keselamatan peralatan pula menjurus kepada keselamatan bahan-bahan yang wajib digunakan ketika proses pilihan raya. Antaranya buku kertas undi, beg peti undi, dakwat pilihan raya, petak dan peti mengundi dan peralatan alat tulis.

Sudah pasti ancaman banjir mampu mengganggu gugat kecukupan serta risiko keselamatan bekalan peralatan ini. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya