Jangan lupa perjuangan hak rakyat - Utusan Malaysia

Jangan lupa perjuangan hak rakyat

PERLU dipastikan manifesto pilihan raya bukan sandiwara semata-mata. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROSES pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah berakhir dan rakyat menyaksikan betapa sukarnya kerajaan hendak dibentuk kerana tiada mana-mana gabungan parti politik mendapat majoriti mudah.

Tatkala berlakunya rundingan antara gabungan parti politik untuk pembentukan kerajaan campuran, kedengaran satu ungkapan yang agak basi, iaitu dalam politik segalanya boleh berlaku.

Lawan menjadi kawan, ideologi dan suara rakyat hilang entah ke mana. Maka wujud satu persoalan, adakah manifesto dan janji-janji yang diungkapkan sepanjang pilihan raya itu sandiwara semata-mata?

Media sosial digunakan untuk mempamerkan bermacam-macam idea, komen dan persepsi. Perang bendera, poster dan gegantung ketika pilihan raya dijadikan sandaran berkempen untuk mempengaruhi sokongan pengundi.

Konsep parti besar dan penjenamaan semula logo, adakah semua ini sesuatu strategi yang hanya digunakan untuk memancing undi? Senario ini mungkin membuatkan rakyat keliru.

Rakyat harus sedar bahawa fenomena ini menimbulkan ancaman kepada prinsip demokrasi, dan lebih khusus lagi kepada masyarakat marhaen.

Jika rakyat faham dan sedar tentang keadaan ini, mereka tidak akan termakan umpan janji-janji yang dimainkan oleh sebilangan parti politik.

Namun, oleh kerana mereka telah melalui satu proses indoktrinasi, ia menyebabkan pemikiran rakyat bercelaru dan mendahulukan emosi. Oleh itu, golongan muda mempunyai tanggungjawab besar dalam menulis semula konsep pemilihan seorang wakil rakyat.

Golongan muda harus diperkasakan dengan pemahaman bahawa elemen kestabilan politik sangat penting bagi menjamin perpaduan kaum, kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Parti-parti politik sibuk dengan rundingan mereka sehingga melupakan perbincangan tentang isu rakyat dan memperjuangkan hak mereka. Rakyat kini bimbang dengan jurang kekayaan yang semakin melebar. – UTUSAN

MUHAMMAD ISA NAHOO GANI, Sungai Siput, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya