fbpx

Bukan khianat jika tidak kejar habuan

SEPERTI parti-parti lain, tujuan asal penubuhan UMNO adalah untuk memperjuangkan hak rakyat dan mewujudkan negara lebih baik. – UTUSAN/AMIR KHALID

SAUDARA PENGARANG,

ISU pembentukan Kerajaan Persekutuan yang tertangguh seketika selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diumumkan pada Sabtu lalu cukup menarik minat saya untuk mengulas.

Saya bukanlah pengikut mana-mana parti politik tetapi sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu terkini.

Satu persoalan yang sentiasa bermain dalam ­fikiran saya apabila membaca perkembangan terkini politik adalah apabila seseorang itu dilabelkan sebagai pengkhianat kerana cenderung untuk bergabung dengan parti politik berbeza daripada yang dimahukan kepimpinan atasan parti.

Dari apa yang saya faham, seseorang itu mula-mula membuat keputusan untuk menyertai parti politik berdasarkan cita-cita dan tujuan penubuhannya yang kebanyakannya adalah untuk memperjuangkan hak rakyat dan mewujudkan negara lebih baik.

Bagaimanapun, apabila masa berlalu dan pemimpin berbeza mengambil alih kepimpinan parti, ia mungkin menyimpang daripada tujuan asal penubuhan kerana pemimpin tersebut mungkin mempunyai kepentingan lain dalam ­fikiran termasuk memperkayakan diri sendiri dan mungkin juga ahli keluarga mereka.

Jadi, apabila ini berlaku, apa jadi kepada mereka yang menyertai parti berdasarkan matlamat dan perjuangan asalnya? Mereka mungkin meninggalkan parti kerana menganggap ia telah hilang prinsip dan mirip seperti kapal yang sedang karam.

Adakah seseorang itu sanggup tenggelam bersama-sama kapal atau adakah mereka akan bertindak menyelamatkan dirinya?

Ganjaran

Secara peribadi, saya merasakan seseorang hanya boleh dilabel sebagai pengkhianat jika terbukti dia meninggalkan parti atau kapal semata-mata kerana mengharapkan habuan wang atau kedudukan.

Jika seseorang meninggalkan parti X untuk menyertai parti Y kerana ditawarkan ganjaran tertentu, maka wajarlah dia dilabel sebagai pengkhianat.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, kita perlu melihat dengan lebih mendalam mengapa ahli politik tertentu melompat kapal sama sekali, terutama jika lompatan tertentu tidak memberi apa pun ganjaran kepadanya.

Jika orang itu melakukannya semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dan memenuhi cita-cita politik berasaskan kebaikan, maka dia tidak sepatutnya diberi label pengkhianat.

Selain itu, jika seseorang telah berkhidmat kepada rakyat dengan baik dan rekod prestasinya cemerlang walaupun dia meninggalkan parti asal, kita harus mengundi individu tersebut.

Daripada apa yang saya baca dan faham, terdapat ramai ahli politik baik di luar sana benar-benar terpaksa meninggalkan kapal kerana mereka yang memegang jawatan kepimpinan tertinggi parti seolah-olah berjuang hanya untuk keuntungan peribadi dan bukan kepentingan rakyat.

Ahli politik ini tidak mempunyai pilihan selain menyertai parti lain kerana tidak ramai yang mempunyai kemampuan kewangan untuk bertanding di bawah tiket calon Bebas.

Ahli politik terbabit yang berpeluang menjadi calon pada pilihan raya akan datang tidak seharusnya melancarkan serangan peribadi hanya untuk memenangi hati pengundi, sebaliknya berpegang pada kempen yang bersih dan profesional. – UTUSAN

NORHAYATI SHARUDDIN, Taman Permai, Seremban

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN