Pilihlah pemimpin yang amanah

Pilihlah pemimpin yang amanah

RAKYAT diminta memilih calon yang amanah, bijaksana dan ikhlas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dapat dirasai. Sana sini orang bercerita mengenai politik, siapa yang hendak diundi pada PRU. Pening kepala juga hendak memilih calon untuk memimpin negara.

Suasana PRU15 sangat berbeza dengan PRU sebelum ini. Jadi, sangat penting kita memilih pemimpin yang amanah. Sifat itu bukan sahaja disukai Allah SWT, malah masyarakat.

Pemimpin yang hebat memiliki wawasan, pandangan dan matlamat untuk membawa kemajuan kepada organisasi dan membawa kesejahteraan kepada orang yang berada di bawah pimpinannya.

Pemimpin wajib memiliki, menghayati dan mengamalkan sifat amanah serta menghindarkan diri daripada melakukan pecah amanah. Pemimpin hendaklah dipilih dan jawatan hendaklah diserahkan kepada mereka yang memiliki sifat amanah.

Hari ini, semakin ramai pemimpin terlupa bahawa jawatan yang dipegang ialah amanah negara, organisasi dan sesama umat manusia. Semakin ramai yang melihat jawatan sebagai kedudukan untuk digunakan bagi kepentingan diri, keluarga dan kroni, lalu mengalpakan tanggungjawab yang sepatutnya dipenuhi.

Setiap jawatan ialah amanah yang besar dan akan dipertanggungjawabkan di dunia serta di akhirat. Tiada agama yang menggalakkan perbuatan keji, salah laku, rasuah dan sebagainya. Jangan sama sekali melakukan pecah amanah atau bersifat zalim ketika diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan.

Justeru, mereka yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin dan mereka yang menawarkan diri menjadi pemimpin, wajib memiliki sifat ikhlas menyempurnakan tugas diberikan dengan penuh amanah, memiliki kekuatan untuk menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan penyelewengan dan sogokan rasuah. Berwaspadalah dengan pengaruh yang boleh merosakkan melalui hasutan serta bisikan kaum kerabat dan rakan-rakan termasuk pembantu-pembantu di sekeliling.

Peringatan kepada semua parti politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang agar berusaha meningkatkan lagi kualiti kepimpinan selain mengetengahkan pemimpin yang bebas rasuah. Pemimpin perlu memberi contoh baik kepada rakyat dengan berintegriti dan beramanah.

Semoga kita dapat memilih dengan bijaksana pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur, telus, amanah, bijak mentadbir negara serta menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.-UTUSAN

MOHD YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.