Lampu, oh lampu, bila mahu menyala? - Utusan Malaysia

Lampu, oh lampu, bila mahu menyala?

GAMBAR fail menunjukkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan 5 dari Tanjung Karang ke Sabak Bernam, Selangor sedang dijalankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 27 Julai 2015, kerajaan memulakan projek menaik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) dari Tanjung Karang ke Sabak Bernam sejauh lebih kurang 52 kilometer (km).

Projek ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan Pusat. Projek ini siap sepenuhnya pada 22 Februari lalu.

Sesungguhnya projek menaik taraf FR5 merupakan satu inisiatif yang berobjektifkan pembangunan untuk keselesaan rakyat Sungguhpun demikian, kami sebagai penduduk menerima banyak kesan negatif. Projek ini telah memecahkan kampung-kampung yang berada di kiri dan kanan jalan.

Ia turut merubah rutin harian penduduk; menambah perbelanjaan harian untuk ke sekolah, pekan, surau dan masjid; menyukarkan petani membawa keluar hasil pertanian; menyukarkan petani membawa peralatan pertanian dari rumah ke bendang, ladang dan sebaliknya. Selain itu, projek ini juga menambah jarak perjalanan.

Apa yang merisaukan penduduk ialah berkaitan masalah lampu jalan yang tidak sempurna. Pada waktu malam boleh dikatakan 70 peratus jalan ini masih dalam keadaan gelap. Tiang lampu yang ada sekadar perhiasan.

Keadaan ini boleh mengundang kemalangan apabila terdapat kenderaan yang rosak dan ditinggalkan di tepi jalan. Saya sendiri hampir terlibat kemalangan pada waktu malam tidak jauh dari jejantas Sungai Haji Dorani menghala ke Sungai Besar.

Ketika itu, terdapat beberapa kon diletakkan di laluan sebelah kiri jalan selepas kerja-kerja penyenggaraan. Tiada papan tanda amaran diletakkan. Alhamdulillah saya dapat mengelak dengan selamat.

Sampai bilakah kami orang kampung khasnya warga emas harus mempertaruhkan nyawa di atas nama pembangunan? Bantulah kami untuk keluar dari kemelut takut untuk menggunakan jalan raya di waktu malam dan subuh.

Saya berharap pihak berkenaan tidak menunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku. Berjumpalah dengan kami untuk bertanya khabar dan mendengar masalah. – UTUSAN

AHMAD SAMSURI
Jalan Persekutuan 5, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya