Kerajaan Selangor perlu henti ‘halal’ kemusnahan hutan - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor perlu henti ‘halal’ kemusnahan hutan

KEADAAN Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) di Shah Alam yang semakin gondol. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENYATAAN kerajaan negeri Selangor bahawa langkah melakukan siar warta penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) adalah bagi melengkapkan proses itu yang terhenti ketika zaman Barisan Nasional (BN) merupakan satu cubaan membelakangkan kehendak rakyat dan aktivis alam sekitar.

Satu kes mahkamah, satu petisyen dengan 102,000 tandatangan dan puluhan memorandum serta surat sudah cukup untuk membuktikan permintaan rakyat.

Saya percaya kenyataan kerajaan negeri ini dikeluarkan setelah kes mahkamah (semakan kehakiman) difailkan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, iaitu Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF).

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 September lalu membenarkan permohonan dua NGO untuk melanjutkan penggantungan sementara tindakan kerajaan negeri yang membenarkan pembangunan di HSKBC sehingga pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang ditetapkan pada 19 Oktober ini.

Penggantungan sementara ini meletakkan kerajaan negeri di satu posisi yang sukar untuk meneruskan penyahwartaan HSKBC.

Kerajaan negeri juga menyatakan bahawa sebuah anak syarikatnya akan diarahkan memberhentikan kerja di HSKBC, tetapi kerja tidak akan diberhentikan untuk projek-projek yang melibatkan kepentingan awam.

Kepentingan awam dalam takrifan kerajaan negeri ialah projek kubur dan jalan raya. Anak syarikat yang disebutkan itu mungkin merujuk kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ubah

Saya berpendapat pembinaan jalan raya untuk menampung bilangan kenderaan persendirian yang semakin meningkat bukanlah penyelesaian terutama untuk bandar raya seperti Shah Alam.

Pembinaan kubur pula boleh dirunding dengan pihak terlibat supaya ia dibina di kawasan yang bukan melibatkan hutan simpan kekal (HSK).

Malangnya kuasa eksekutif tertinggi Selangor cuba menghalalkan kemusnahan HSKBC dengan alasan-alasan ini.

Kenyataan kerajaan negeri ini jelas menunjukkan polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu alam sekitar tidak ubah seperti kerajaan BN.

Walaupun sudah memerintah 14 tahun di Selangor, amat menghairankan kerajaan PH Selangor tidak boleh mengubah keputusan kerajaan BN.

Juga seperti pagar makan padi, kerajaan negeri membelakangkan Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (EAPN) yang dipinda pada 2011 ketika pemerintahan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

Seksyen ini menghendaki apa jua penyahwartaan HSK di Selangor mesti melalui pendengaran awam. Untuk pengetahuan umum, tiada pendengaran awam pernah dibuat untuk penyahwartaan HSKBC.

Ini bukan kali pertama kerajaan PH menyokong penyahwartaan HSK di Selangor. Isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada tahun lepas menonjolkan sikap kerajaan negeri yang menyokong penyahwartaan HSK.

Nampaknya dalam kepimpinan kerajaan negeri sekarang, keuntungan dan kepentingan pemaju hartanah diutamakan, alam sekitar diketepikan. – UTUSAN

SURESH BALASUBRAMANIAM, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya