Jangan sekadar menangis tonton filem Mat Kilau - Utusan Malaysia

Jangan sekadar menangis tonton filem Mat Kilau

FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sememangnya sudah berjaya mencatat sejarah dalam industri perfileman negara dalam tempoh singkat. – IHSAN STUDIO KEMBARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DENGAN pungutan hasil pendapatan mencecah rekod sebanyak RM97 juta, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sememangnya sudah berjaya mencatat sejarah dalam industri perfileman negara hanya dalam tempoh singkat.

Namun pada masa sama, satu-satunya dimensi yang menonjol dalam filem ini adalah gambaran setiap watak bukan Melayu sebagai si penjahat yang bekerjasama dengan penjajah British dalam penindasan dan kekejaman terhadap penduduk Melayu.

Ini menimbulkan kebimbangan serius tentang soal perpaduan dan keharmonian negara tercinta yang berbilang kaum. Pada saat kritikal ini, sepatutnya desakan perpaduan terserlah supaya rakyat bersatu mempertahankan tanah air daripada penjajah, cuma kali ini dalam bentuk penjajahan politikus elit ketuanan.

Lebih-lebih lagi, sesetengah penonton mungkin sukar menerima filem ini sebagai karya fiksyen. Penafian yang tertera pada permulaan filem bahawa hanya sebahagian daripada gambaran peristiwa adalah berdasarkan sejarah sebenar tidak memadai.

Selain itu, memandangkan latar belakang dan sejarah politik identiti Malaysia yang luas dan mendalam, berkemungkinan besar rujukan halus Mat Kilau, kiasan dan petikan dialog yang mengelirukan (dengan sengaja atau tidak) boleh disalahgunakan pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Oleh itu, filem ini memerlukan penilaian yang sangat kritikal oleh para penonton. Karya fiksyen tiada signifikan sekalipun jika kita gagal mentafsir dan mengaitkannya dengan perkembangan semasa dan peristiwa yang berlaku di sekeliling.

Kekayaan

Selain pengajaran mengenai keperluan garis sempadan antara fiksyen dan realiti sejarah, filem ini juga memerlukan pemahaman yang betul tentang konsep penjajahan.

Penjajahan adalah satu cara mewujudkan kawalan ke atas kumpulan sosial bagi mengambil alih wilayah, kawasan, kekayaan dan sumber manusia untuk kegunaan sendiri.

Bagaimanapun, ini semua merupakan bentuk yang paling jelas kepada mereka yang dimanipulasi dan oleh itu juga lebih berkemungkinan menghadapi tentangan kuat.

Sebaliknya, bentuk manipulasi lain yang lebih halus – pandangan dunia, budaya pemikiran, fakta sejarah, doktrin dan ideologi memerlukan jangka masa pelaksanaan yang panjang tetapi hampir mustahil untuk ditentang sekurang-kurangnya selagi kaedah ini tidak dapat dilihat atau disedari sebahagian besar kumpulan sosial yang dimanipulasi.

Sepanjang sejarah dunia, pelbagai negara telah dijajah penceroboh asing. Tetapi mereka juga sering tertakluk kepada penjajahan domestik oleh politikus elit dalaman dan entiti, badan dan pertubuhan korup yang telah berakar umbi. Kebanyakannya menjajah melalui bentuk kaedah kawalan halus.

Penjajahan asing atau domestik sentiasa bertujuan memerah sumber bagi kepentingan sendiri. Dan pengekstrakan sumber ini jika ia tidak dikawal, pasti akan membawa kepada apa yang Mat Kilau (seperti dilakonkan Adi Putra) nyatakan sebagai ‘sampai bangsaku tiada negara.’

Ya, memang patut menonton filem ini! Namun, tiada nilai atau makna jikalau kita sekadar menonton dan menangis tetapi akhirnya ia tidak mendatangkan iltizam untuk menyelamatkan negara. – UTUSAN

DATUK DR. RAIS HUSSIN MOHAMED ARIFF
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya