SAUDARA PENGARANG,
TUNTASNYA maklumat yang disampaikan kepada rakyat perlu tepat, difahami dan dibudaya kumpulan sasar. Ini termasuk menyeru rakyat menolak rasuah serta amalan tidak berintegriti yang bertentangan dengan agama dan nilai manusia sejagat.
Apabila maklumat yang benar dan sahih dipesong berkali-kali tanpa diambil tindakan, ia membawa implikasi negatif kepada kerajaan. Dalam sebuah negara demokrasi, keadaan ini amat membimbangkan. Pelbagai inisiatif strategik termasuk menubuhkan kumpulan soldadu siber sudah diusahakan, namun belum nampak keberhasilan bahawa berita tidak benar dapat dihapus serta merta.
Rentetan perubahan landskap teknologi dunia serta pandemik melanda, perubahan yang seiring dengan zaman perlu dilakukan demi memastikan komunikasi dan media kekal relevan. Transformasi ini adalah tuntutan industri yang berkehendakkan graduan lebih versatil menghasilkan kemahiran mengikut keperluan pasaran.
Internet segalanya (IoT) sudah menjadi sebahagian denyut nadi rakyat. Hari ini, gaya hidup masyarakat turut berubah misalnya penjual produk tidak lagi berniaga secara fizikal atau secara bersemuka semata-mata sebaliknya melalui jualan dalam talian.
Justeru, cadangan mewujudkan Cawangan Kandungan Digital dan Bahagian Komunikasi Strategik diperluas di peringkat daerah, mukim dan kampung di bawah pentadbiran Pejabat Penerangan Daerah boleh diambil kira oleh kerajaan.
Tujuannya untuk memasar maklumat melalui pelbagai aplikasi media sosial di bawah penyelarasan Pejabat Penerangan Daerah dan kegiatan penafian isu yang berpusat kepada kawasan Dewan Undangan Negeri, Parlimen dan pihak berkuasa Tempatan (PBT).
Adalah dicadangkan diwujudkan Bahagian Kandungan Digital yang bertanggungjawab kepada Pengarah Jabatan Penerangan Negeri. Melalui pewujudan cawangan ini dapat mengatasi penularan berita tidak benar, kegiatan penipu maya juga dapat dikurangkan secara berperingkat.
Adalah dicadangkan kepada kerajaan bahawa Pejabat Penerangan Daerah perlu disusun semula secara menyeluruh dari segi perjawatan, aset, fungsi, peranan mahupun kedudukan ruang pejabat usang diubah ke tempat yang strategik untuk memudahkan rakyat berurusan selain menambah aset bepaksikan teknologi komunikasi pada masa ini termasuk memperkasa semula aplikasi radio amatur.-UTUSAN
TAN DEWA SAKTI
Tanjung Rambutan, Perak