SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN kerajaan untuk menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) pada 11 Mei dan 6 Julai lalu adalah langkah untuk mengawal inflasi ketika tempoh pasca pandemik.
Kenaikan OPR tersebut diambil setelah melihat pengukuhan yang berlaku di pasaran buruh negara, pengurangan kadar pengangguran serta jangkaan pelan pemulihan ekonomi yang sedang berlaku.
Walaubagaimanapun, terdapat juga pakar ekonomi yang melihat fenomena tersebut bakal mengundang ketidaktentuan ekonomi serta kebimbangan kemelesetan ekonomi.
Menurut data Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), Malaysia mencatatkan kenaikan inflasi sebanyak 3.4 peratus pada Jun tahun ini.
Antara faktor yang menyumbang kepada inflas rendah adalah:
1. Dasar polisi fiskal yang diamalkan dengan menaikkan OPR yang menyasarkan agar wang yang berlegar di dalam ekonomi dikurangkan serta dilebihkan pada usaha yang lebih produktif.
2. Dasar subsidi kerajaan kepada beberapa item asas seperti ayam dan beras yang menyumbang kepada pengawalan indeks harga pengguna (CPI) pada barang tertentu. Sekalipun terdapat kenaikan mendadak pada sesetengah barangan seperti minyak masak tetapi ia diimbangi dengan pengawalan harga barang asasi yang lain.
3. Usaha jihad melawan inflasi melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan kerajaan.
4. Keadaan ekonomi negara yang tidak terkesan teruk pada semua sektor akibat pandemik Covid-19.
5. Aliran kewangan yang dilihat kukuh menggambarkan fungsi penguatkuasaan badan serta agensi berkenaan menunjukkan kesan yang positif.
Ini bukanlah bermakna kita perlu merasa selesa dengan keadaan yang berlaku tetapi tindakan-tindakan wajar yang lain juga perlu dipergiatkan oleh semua pihak. Selain itu, tindakan yang tidak responsif adalah antara faktor terbesar menyebabkan beberapa krisis ekonomi seperti krisis subprime mortgage dan krisis ekonomi greece yang berpunca dari tindakan ‘menyembunyikan’ atau menafikan.
Mengambil iktibar dari pandangan seorang tokoh fikah, perundangan serta pemikiran ekonomi Islam terkenal iaitu al-Imam Muhammad Hasan al-Syaibani, beliau menekankan tiga penghasilan yang perlu dititik beratkan di dalam sebuah negara atau masyarakat iaitu pertanian yang membekalkan makanan, perniagaan yang merancakkan aktiviti pasaran serta pembinaan yang menghasilkan barangan serta produk. Idea beliau mengenai pertanian dan makanan itu dilihat amat relevan sehingga kini kerana krisis harga dan bekalan hari ni banyak tertumpu kepada makanan dan yang bersangkut paut dengannya.-UTUSAN
DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya