AUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas artikel ditulis oleh Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azman Mohd. Hashim bertajuk Elak dasar memberi ikan, bukannya joran yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 1 September lalu.
Di sini, saya tetap ingin mempertahankan kenyataan yang terdahulu. Apakah wajar kita katakan kepada rakyat untuk melipat gandakan usaha bagi mengatasi inflasi atau kenaikan harga barang?
Cuba kita lihat dan renung keadaan hidup golongan atasan dan pemimpin dibandingkan rakyat bawahan apabila berlakunya wabak dan juga bencana. Kehidupan rakyat yang susah semakin susah.
Dengan itu, adakah dikatakan tidak wajar sama sekali untuk rakyat diberi sumbangan yang lebih? Lupakah mereka bahawa adanya rakyat, maka adanya kerajaan dan duit kerajaan adalah duit rakyat.
Pembangkang pernah mengatakan, hasil ekonomi rancangan Felda banyak tetapi wangnya tidak tahu ke mana perginya. Jadi, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memberi sumbangan sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka Felda adalah satu tindakan yang amat wajar sama sekali.
Rakyat baharu mahu merasai kesenangan hidup yang lebih sedikit tetapi disebabkan politik, kita nyahkan perkara baik dengan kata-kata dan istilah yang pelbagai.
Disebabkan itu, beranikah Pejuang membuat aku janji secara bersumpah bagi memastikan setiap rasuah, penyelewengan dan kenaikan harga barang tidak menjadi kenyataan?
Jangan wujudkan sesuatu isu semata-mata untuk menumbangkan pihak lain dan bagi mendapatkan kuasa.
Rakyat sekarang bijak dan pandai menilai. Menggunakan perkataan pemalas yang merujuk kepada rakyat adalah bahasa yang kasar.-UTUSAN
GENERASI KEDUA FELDA
Jerantut, Pahang